Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu kaji semula  penguatkuasaan larangan saiz tertentu nombor plat pada kenderaan di negara ini.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pihak penguatkuasa JPJ perlu menarik semula larangan tersebut kerana ia menimbulkan rasa tidak senang pengguna jalan raya di negara ini.

"Ada perkara perlu dibaiki mengenai penguatkuasaan peraturan dan larangan pemasangan plat kereta. Peraturan yang ada pada plat kereta peraturan lama.

"Sekarang sudah rasa teknologi yang baharu. Pihak JPJ perlu buat kajian semula dan cuba adaptasi dengan teknologi baharu,” katanya kepada Sinar Harian Online, di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya turut membantah tindakan JPJ yang menguatkuasakan undang-undang terhadap penggunaan cermin gelap pada kenderaan.

“Larangan penggunaan cermin hitam oleh pihak JPJ sebenarnya turut membangkitkan kemarahan rakyat.

“Cermin hitam ini sebenarnya dipasang bagi mengelakkan cuaca panas, tapi ia dihalang oleh JPJ,” katanya lagi.

Katanya lagi, penguatkuasaan undang-undang dan larangan penggunaan cermin hitam sebenarnya turut mewujudkan ancaman kepada keselamatan pemilik kenderaan.

“Jika kita tidak aplikasikan cermin hitam pada tingkap kenderaan, barang dalam kenderaan masing-masing mudah dilihat oleh pihak lain.

“Ia sebenarnya mewujudkan bahaya yang tidak dapat dijangka,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung perkara tersebut kepada Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud, hari ini.

“Kita bawa aduan rakyat berkenaan dengan ketidakpuasan hati dengan perubahan saiz plat kereta dan pemasangan cermin gelap.

"Hal ini perlu diselesaikan kerana ia membunuh integriti pegawai dan kakitangan JPJ,” tegasnya.