Ahad, 9 November 2014

Hentikan monopoli pemeriksaan kenderaan komersial oleh Puspakom

puspakom_

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- DAP menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai agar menghentikan monopoli pemeriksaan kenderaan komersial oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom  demi keselamatan rakyat.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, ketidakcekapan Puspakom merupakan antara punca peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menurutnya, sejak 1994, Puspakom tidak pernah konsisten melaksanakan tanggungjawabnya berikutan banyak aduan orang ramai terhadap syarikat itu.

“Perakuan kelayakan dari Puspakom tidak memberi jaminan bahawa kenderaan yang diperiksa adalah selamat untuk berada di jalan raya.

“Jadi, Liow harus menjelaskan apakah kementeriannya sudah bersedia membebaskan pemeriksaan kenderaan komersial bagi membolehkan pembekal perkhidmatan lebih berkelayakan mengambil alih peranan, bukannya meneruskan monopoli tidak sihat ini,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Pada 1 Disember 2009, Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu, Abdul Rahim Bakri di Parlimen memberitahu bahawa hak eksklusif Puspakom untuk memeriksa kenderaan komersial akan berakhir pada 2014.

Namun, pada 27 Jun 2011 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri S Devamany menyatakan sebaliknya dengan berkata, bahawa kerajaan memutuskan untuk memberikan hak eksklusif kepada Puspakom sehingga 2024.

“Liow perlu berpegang teguh kepada janji awal kerajaan untuk mengakhiri monopoli Puspakom ini.

“Liberalisasi pemeriksaan kenderaan adalah penting kerana ia akan meningkatkan usaha penguatkuasaan peraturan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” tegasnya.

Chin Tong turut menyelar tindakan kerajaan yang menyatakan isu berkaitan perjanjian dengan Puspakom adalah ‘sensitif’.

“Mengapa ia dianggap sensitif? Adakah kerana Puspakom anak syarikat kepada DRB-HICOM Berhad, iaitu konglomerat dikuasai Syed Mokhtar Al-Bukhary?,” soalnya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu turut menyatakan, beberapa bukti memperlihatkan dengan jelas kecuaian Puspakom hingga meragut nyawa pengguna jalan raya adalah kemalangan bas di Genting Highland, Ogos tahun lalu.

Katanya, siasatan ke atas tragedi yang meragut 37 nyawa itu mendapati bahawa Puspakom tidak melakukan pemeriksaan teliti, atau tidak mengemaskini rekod bas tersebut.

“Laporan yang didedahkan Panel Penasihat Bebas jelas menyatakan kaedah pemeriksaan Puspakom terhadap bas terbabit amat longgar,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: