Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sudah
tiba masanya Kementerian Pengangkutan mengakui hakikat bahawa Malaysia
memiliki kadar kematian jalanraya per-kapita tertinggi di dunia, dan
menumpukan usaha menanganinya.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mengulas langkah
Kementerian Pengangkutan dan agensi dibawahnya, Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) yang seperti hilang punca dan cuba menutup masalah sebenar
yang serius.
“Saya menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong
Lai mengakui hakikat itu,dan berhenti dari terus memanipulasi data untuk
mengatakan sebaliknya,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.
Dalam satu temubual bersama Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri
Ismail Ahmad yang tersebar luas baru-baru ini, langkah memburu kereta
bercermin gelap dan plat nombor yang tidak mengikut piawaian bertujuan
menurunkan kadar kematian kepada 5,358 orang menjelang tahun 2020.
“(Kenyataan) Ismail menjadi bahan lawak rakyat. Kenyataan
itu keutamaan mengarut (misplaced priority), untuk memburu nombor plat
yang tidak mengikut piawaian, bukannya hal lebih penting untuk
mengurangkan kemalangan,” kata Chin Tong lagi.
Beliau turut membidas kenyataan Timbalan Menteri
Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang berbangga apabila kematian
jalanraya menurun kepada 3.05 peratus bagi setiap 10,000 pada 2012,
berbanding 4.88 peratus sepuluh tahun lalu.
Kata Chin Tong, penurunan itu tidak menunjukkan situasi
sebenar, kerana Abdul Aziz tidak menyebut peningkatan dua kali ganda
kenderaan berdaftar dalam tempoh itu.
“Sejumlah 12.06 juta kenderaan berdaftar pada tahun 2012, meningkat sehingga 23.71 juta setakat 31 Disember 2013.
“Kementerian juga tidak menyebut hakikat bahawa Malaysia
adalah negara yang memiliki kadar kematian jalanraya tertinggi per
kapita sejak tahun 1996, jika dikira dengan jumlah kematian per 100,000
populasi,” katanya.
Pengarah Pendidikan Politik DAP itu merujuk Laporan Keselamatan Jalanraya 2013 World Health Organisation
yang menunjukkan kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah yang
tertinggi, iaitu 25 kematian bagi setiap 100,000 populasi, berbanding
China (20.5), Russia (18.6) dan India (18.9).
“Antara tahun 2000 hingga 2009, sebanyak 4.5 juta
kemalangan dengan 58,582 kematian dilaporkan. Pada tahun 2008 pula,
sejumlah 6,527 kemalangan maut berlaku dan ia sentiasa meningkat setiap
tahun.
“Maka sudah tiba masanya untuk Liow bertegas dengan JPJ dan
memastikannya mengakui hakikat mengerikan ini dan mula menanganinya
bersungguh-sungguh,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan