Rabu, 5 November 2014

Hapus dasar monopoli untuk elak internet Malaysia terlalu mahal

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghapuskan amalan monopoli yang mengakibatkan harga internet dan jalur lebar di negara ini terlalu mahal berbanding kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, mutu perkhidmatan internet hanya dapat dipertingkatkan jika kerajaan bersedia memecahkan monopoli perkhidmatan tersebut.
Fahmi“Isu pokoknya adalah monopoli, kerajaan seharusnya membuka lebih ruang agar ada persaingan di kalangan penyedia perkhidmatan.

“Ini bukan sahaja menjadikan harga perkhidmatan lebih rendah tetapi ia turut meningkatkan mutu perkhidmatan kerana wujudnya persaingan,” jelas Fahmi.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Cheah Kok Hong dipetik berkata, harga perkhidmatan internet di Malaysia terlalu mahal dan perlu diturunkan kerana ia menjadi keperluan masyarakat kini.

Satu laporan kaji selidik atas talian oleh Ookla Net Index sebelum ini turut meletakkan Malaysia di tangga ke-126 daripada 196 negara dari segi kelajuan internet di dunia.

Malah lebih teruk, mutu perkhidmatan internet di negara ini ketinggalan di belakang Kemboja dan Vietnam berdasarkan kajian yang dilakukan pada Mei 2013 hingga April 2014 itu.

“Bagaimana kita mahu menjadi negara maju jika mutu perkhidmatan instrument penting ini berada di tahap terkebelakang.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu kerana dengan memperbaiki mutu perkhidmatan dan kosnya, bakal memberi manfaat besar kepada rakyat,” kata Fahmi lagi.

Tiada ulasan: