Yusof Haslam Yusof Haslam
 
 
KES buli melibatkan pelajar kembali menghantui pemikiran masyarakat selepas penyebaran klip video yang dipercayai berlaku di kalangan pelajar sekolah berasrama.

Dalam hal ini, rata-rata ibu bapa melahirkan kerisauan apabila memikirkan keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Malah, selebriti terkenal, Wardina Safiyyah, juga turut meluahkan rasa sekaligus meletakkan kesalahan ini di bahu segelintir penggiat seni yang lebih berminat dalam menghasilkan filem bercorak keganasan dan gangster.

Kenyataan Wardina yang lantang menerusi tulisannya di laman Facebook, sedikit sebanyak mengguris perasaan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Pemilik syarikat penerbitan, Skop Production ini, turut menasihati personaliti itu agar tidak terlalu menyalahkan pihak lain termasuk penggiat seni dalam industri tempatan.

"Gunakanlah akal fikiran yang waras sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan terlalu lantang menyalahkan orang lain dalam apa jua isu yang timbul.

"Setiap kali menghasilkan filem, kami tidak berniat untuk menyebarkan benda yang bukan-bukan kerana di sebalik kisah yang dipaparkan, ada mesej yang ingin disampaikan. Malah, selain filem gangster, saya juga menghasilkan filem bercorak kepolisan.

"Kenapa apabila ada isu sebegini, kami yang dipersalahkan dan filem tempatan 'ditunjal' tanpa perkiraan? Sekiranya anda bukan berada di tempat kami, fikir dahulu sebelum berkata apa-apa perkara yang boleh membawa kepada keburukan," tegas pengarah prolifik ini.

Tambah penerbit filem, KL Gangster ini, seharusnya kesalahan ini tidak diletakkan di bahu industri memandangkan jumlah penonton di pawagam hanyalah sekitar dua peratus sahaja.

"Sejujurnya, kes buli bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita kerana zaman persekolahan saya lagi, perkara ini sudah ada. Malah saya lihat dengan mata saya sendiri apabila ada pelajar di sekolah dibuli dengan teruk.

"Pada hari ini, sejajar dengan teknologi yang semakin canggih, filem bukanlah dilihat sebagai medium utama untuk mempengaruhi minda remaja kerana jumlah tontonan di pawagam lebih rendah berbanding pelayar di Internet yang mencapai 70 peratus.

"Lihatlah video-video yang disebarkan di Facebook, Youtube dan laman perkongsian video lain, malah video pembunuhan serta pemberontakan di negara-negara bergolak juga. Itu semua boleh menyumbang kepada gejala buruk termasuk penyebaran video lucah. Adakah ini kerana filem kita?," soal ikon seni ini lagi.