MALAYSIAKINI
Dua lagi mayat tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands ditemui pagi tadi.
Mayat lelaki dan wanita warga Indonesia itu ditemui tertimbus sedalam
kira-kira satu meter berhampiran lokasi kejadian di Lembah Bertam,
kira-kira 11.05 pagi.
Ia kini menjadikan keseluruhan lima mangsa yang terkorban dalam kejadian Rabu lepas itu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata
kedua-dua mangsa merupakan pekerja kebun sayur di Sungai Kabok, yang
dikenali sebagai Suwalis, 40, dan Yunita, 41.
Kedua-dua mayat ditemui dalam keadaan masih berselimut.
"Kita percaya mangsa sedang tidur ketika kejadian tanpa menyedari
berlaku tanah runtuh dari atas mereka," katanya di pusat kawalan operasi
dan bencana di Lembah Bertam hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata untuk dibedah siasat.
Sementara itu operasi mencari dan menyelamat dihentikan sejak tengah
hari tadi setelah pihak polis membuat penggeledahan di lokasi kejadian.
"Kita setakat ini mengesahkan tiada lagi mangsa dalam kejadian tanah
runtuh ini. Bagaimanapun pusat kawalan operasi bencana akan terus dibuka
di Lembah Bertam bagi memantau keadaan cuaca dan pelepasan air yang
mungkin berlaku lagi sekiranya hujan turun petang ini," kata Wan Zahari.
Kejadian itu turut mengorbankan seorang pelajar lelaki R. Tunesh, 13,
yang ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja; seorang pekerja kebun
sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, yang ditemui
tertimbus di Lembah Bertam.
Seorang lagi mangsa ialah seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md
Yousuf Miya, 66, yang tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan