Selasa, 11 November 2014

Drama tempatan: Pemuda PAS sokong cadangan Rosyam

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Malaysia menyokong cadangan Datuk Rosyam Nor agar diadakan perbincangan meja bulat antara penggiat drama tempatan dengan pihak RTM.

Pengarah DACS, Salman Saleh berkata, ianya bertujuan mencari jalan keluar berhubung isu RTM yang tidak lagi membeli drama tempatan untuk di siarkan dirancangan TV1 ataupun TV2, sejak Januari lalu, seperti didakwa pelakon terkenal itu.

"DACS juga berharap RTM fokus bahawa ianya adalah ‘tulang belakang’ kepada penggiat drama tempatan.

"Jika RTM tidak membantu mereka siapakah yang akan memastikan hasil seni mereka disiarkan melalui rancangan-rancangan di televisyen?" soalnya.

Selain itu beliau berharap semua penggiat drama tempatan bergerak secara gabungan termasuk dengan mewujudkan persatuan yang kuat bagi memastikan hasil seni mereka terbela dan sebagai pendesak kepada kerajaan apabila berlaku isu-isu berbangkit kelak.

Rosyam sebelum ini membuat keluhan ekoran perkara itu dengan mempersoal adakah drama yang dikeluarkan tidak berkualiti, atau berlaku lambakan industri tersebut sehinggakan RTM tidak lagi sanggup mengambilnya dan adakah pengusaha drama tempatan telah meletakkan satu harga yang tinggi sehinggakan RTM tidak mampu membelinya.

Setelah pendedahan dibuat oleh Rosyam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan tampil membuat penjelasan.

Ahmad Shabery berkata, RTM terpaksa berbelanja lebih berikutan menyiarkan perlawanan Piala Dunia yang bermula pada 12 Jun 2014 sehingga 14 Julai 2014 yang lalu.

RTM menurutnya, telah membawa hampir 57 perlawanan secara langsung, tertunda ataupun ulangan yang di siarkan dan terdapat beberapa perlawanan yang bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 petangnya.

Beliau juga menjelaskan, tragedi pesawat MH370 dan MH17 juga menyebabkan RTM terpaksa memberikan perhatian penyiaran ataupun telah membelanjakan satu peruntukan ke atasnya.

Mengulas alasan itu, Salman berkata RTM sebenarnya telah lari daripada peranan sebenar mereka di dalam membantu penggiat drama tempatan.

"Sebagai contoh isu Piala Dunia, apakah tujuan RTM bersaing dengan Syarikat Penyiaran Swasta dan berbayar ketika itu?

"Sedangkan RTM sedar kos bayaran penyiaran yang terpaksa dibayar untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh membeli drama tempatan tersebut.

"Rakyat Malaysia menerima hakikat kejadian yang menimpa terhadap MH370 dan MH17 yang lalu, RTM telah menyiarkan berita-berita terkini bagi tujuan maklumat rakyat yang simpati dengan kejadian tersebut.

"Tetapi kami sedikit hairan RTM menjadikannya sebagai antara penyebab kegagalan untuk membeli drama-drama tempatan selama ini," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: