Isnin, 10 November 2014

Dewan Rakyat kecoh, Noh gelar 'MP burung kakak tua'

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini gamat seketika apabila Datuk Seri Noh Omar membuat beberapa kategori terhadap ahli parlimen yang ada.

Kekecohan bermula apabila Noh mempersoal kenyataan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) selaku Menteri Besar Selangor yang didakwanya cuba menggambarkan 'semua agama bebas apa nak buat'.

Sedangkan kata beliau, negeri Selangor ada enakmen jenayah kepada bukan Islam.

Kenyataan itu kemudian dibantah Tian Chua (PKR- Batu) yang meminta Noh berhenti dari membangkitkan soal dalaman negeri, sebaliknya mahu hanya perkara berkait persekutuan dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Menyifatkan Tian Chua tidak faham apa yang dibangkitkannya, Noh terus menempelak beliau.

"Ada ahli parlimen cakap macam burung kakak tua, dia tak tahu apa yang tak tahu dia cakap, contohnya macam (Ahli Parlimen) Batu. Ini kategori pertama," katanya Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

Noh kemudian menggunakan ruang perbahasannya untuk menghuraikan kategori kedua yang menurutnya "bercakap tak pandai tapi nak memandai-mandai".

Kali ini beliau memberi contoh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Shah Alam (Khalid Abdul Samad) dan Parit Buntar (Datuk Mujahid Yusof Rawa), yang disifatkannya berada dalam kategori kedua itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan ketiga-tiga ahli parlimen PAS itu berhubung isu Sisters In Islam (SIS).

Menurut beliau, ketiga-tiga ahli parlimen itu wajar mendapatkan juga penjelasan dari mufti berhubung isu fatwa SIS tersebut.

Kenyataan tersebut menyebabkan Mujahid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bangun dan berkata "minggu depan saya akan berjumpa Majlis Fatwa".

Tidak berhenti di situ, Noh terus memanaskan lagi keadaan apabila mendakwa Mujahid dan Khalid tidak patuh kepada arahan 'bos' dan Majlis Syura.

Kenyataan itu membuatkan Tian Chua sekali lagi bangun membantah dan mendakwa Noh membuat sangkaan jahat yang cuba menyindir ahli parlimen lain.

Mujahid juga bangun membantah tindakan Noh yang didakwa cuba mengheret dari isu SIS kepada isu parti ke Dewan Rakyat.

"Mengheret isu parti ke dalam dewan ini apa hal... kalau nak cakap bab politik cakap di luar, jangan dalam dewan.

"Saya tak boleh terima kalau dia bercakap tentang parti saya mengikut suka hati dia dan selera hati dia. Ini berniat jahat dan saya mintak beliau tarik balik," tegasnya.

Keadaan itu memaksa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menenangkan keadaan dengan meminta semua duduk dan menamatkan perbahasan Noh. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: