Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
SHAH ALAM - Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat semalam sebulat suara menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata memandangkan Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam Pas, maka kehadiran beliau penting untuk mengukuhkan gabungan PKR dan DAP dalam PR.

"CEC memohon Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR, demi menjadikan PR lebih bersemangat kerana PR adalah gabungan kesemua tiga parti Pas, PKR dan DAP.

"Beliau perlu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR, DAP akan menanti sehinggalah beliau berkelapangan untuk hadir, sebelum turut hadir ke mesyuarat tersebut," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu berkata luahan yang dibuat DAP adalah atas dasar hormat DAP kepada Pas ‎yang mahukan Presiden Pas itu menghadiri mesyuarat agar segala keputusan penting dapat dimuktamadkan bersama.

Malah DAP juga menafikan parti itu mempunyai agenda tertentu apabila dilihat kerap membangkitkan isu kehadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat PR sekaligus mempersoalkan komitmen bersama rakan sekutu mereka.

Guan Eng berkata lagi, komitmen Abdul Hadi dalam perkara itu diperlukan dalam usaha PR untuk mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan pengundi, terutamanya golongan rakyat pertengahan.

" Kita mesti menepati janji dan melaksanakan komitmennya terhadap prinsip-prinsip urus tadbir yang baik, keadilan, kebebasan dan demokrasi," ujarnya.

Dalam pada itu, mesyuarat CEC DAP semalam juga memutuskan akan mengemukakan beberapa usul bagi meminda Perlembagaan parti itu termasuk mewujudkan kouta sebanyak 30 peratus daripada jawatan CEC untuk diisi oleh wanita.

"Usaha bersepadu ini untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai DAP, serta menunjukkan komitmen kami untuk menambah bilangan pemimpin wanita di Malaysia, terutamanya keterlibatan pemimpin wanita muda," katanya lagi.