Khamis, 20 November 2014

Berkhidmat sebagai pelatih politik


Muhammad Amin (tengah) selepas menyempurnakan perasmian laman web www.amanjayainternship.com, semalam. Muhammad Amin (tengah) selepas menyempurnakan perasmian laman web www.amanjayainternship.com, semalam.
IPOH - Seramai 32 mahasiswa dalam kalangan anak jati Perak akan dipilih bagi menyertai Program Amanjaya Internship II anjuran bersama Pemuda BN Perak dan Sukarelawan Pemuda BN (BNYV).

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, program yang diadakan sejak tahun lalu itu memberi peluang kepada penuntut untuk berkhidmat sebagai pelatih politik kepada Adun BN di Perak.

“Program ini merupakan lanjutan daripada Amanjaya Internship dan diadakan untuk tahun ini kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa,” katanya selepas merasmikan pelancaran laman web www.amanjayaInternship.com di sini.

Beliau berkata, melalui program berkenaan setiap daripada pelatih yang terpilih akan didedahkan secara dekat dengan skop kerja atau bidang tugas seseorang Adun.

“Itu adalah objektif utama kita selain dapat mengeratkan silaturahim antara mahasiswa, Adun dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, program yang akan dijalankan selama sebulan itu akan bermula pada Disember depan.

“Mereka yang terpilih akan ditempatkan di setiap pusat khidmat Dun BN dan difahamkan program itu akan bermula pada Disember depan hingga Januari 2015,” katanya.

Tiada ulasan: