Rabu, 19 November 2014

Berapa nilai import Malaysia terhadap produk Israel

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri diminta menyatakan berapakah nilai import Malaysia terhadap produk keluaran dari Israel dan apakah senarai jenis barangan paling utama yang diimport dari Israel.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Siti Zailah Mohd Yusoff [PAS-Rantau Panjang] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan perincian lagi pengumuman purata pendapatan isi rumah RM5900 sebulan dengan perincian mengikut julat pendapatan bulanan menurut kaum dan negeri.

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Pendidikan menyatakan kemajuan perancangan memindahkan Sekolah Kebangsaan Tok Bali, Pasir Puteh ke tapak baru. Bolehkah pembinaan dipercepatkan.

Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan langkah yang akan diambil oleh International Tripartite Rubber Council (ITRC) untuk memperkukuh harga getah di pasaran dunia.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan langkah untuk memperbaiki profesionalisme pengadil dalam mengendalikan perlawanan bola sepak terutamanya di dalam liga profesional negara.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan bagaimana kepentingan pendeposit atau ahli Bank Rakyat dapat dilindungi apabila Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 16 Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Peruntukan Khas) 1978 untuk mengarahkan Bank Rakyat supaya membenarkan Syarikat Carpet Tile Sdn. Bhd. menjelaskan hutang tertunggak sebanyak 32 juta melalui bayaran bulanan selama 10 tahun tanpa dikenkan sebarang denda lewat (ta'widh).

Dr Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk memastikan kebocoran soalan-soalan peperiksaan tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan adakah Kementerian mempunyai perancangan pelan mencari bakat sukan di luar bandar dalam pelbagai bidang sukan.

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan bilangan kes yang dibawa ke Mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948 dalam tempoh 10 tahun yang lalu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: