Jumaat, 14 November 2014

Belanjawan Pulau Pinang meningkat kerana hasil diagih untuk rakyat

LGE Bertam

Roketkini.com.


GEORGE TOWN: Perbelanjaan mengurus Pulau Pinang yang meningkat dari 2008 hingga 2013 adalah kerana hasil negeri dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat melalui projek-projek yang memanfaatkan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata demikian dalam jawapannya kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berhubung peningkatan belanja mengurus daripada RM299 juta pada 2008 kepada RM832 juta pada 2013.

“Perbelanjaan negeri meningkat berikutan penambahan pembiayaan program sosial yang bermula pada 2008 termasuk bantuan pendidikan, kebajikan, bantuan pelajar miskin dan wang ehsan melalui kredit bil air.

“Pada 2010 kita menambah pemberian untuk warga emas dan bantuan miskin tegar, dan tahun-tahun berikutnya pemberian bantuan diperluaskan kepada ibu tunggal, OKU, anak emas, ibu emas, pelajar emas bantuan ke IPTA, pemandu teksi, penarik beca, nelayan, mikrokredit dan lain-lain lagi.

“Sejak 2008 hingga 12 November 2014, sejumlah RM287  juta telah dibelanjakan. Peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembiayaan program bantuan sosial rakyat untuk tahun 2015 adalah RM116 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan belanjawan Pulau Pinang 2015.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, caruman daripada akaun Hasil kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri bagi tujuan pembiayaan projek pembangunan diperakaunkan sebagai perbelanjaan mengurus berdasarkan piawaian perakaunan yang diluluskan.

Katanya jumlah pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri meningkat dari tahun 2009 iaitu sebanyak RM40 juta kepada RM89 juta pada 2010, RM150 juta (2011), RM70 juta (2012) dan RM200 juta.(2013).

Manakala pembiayaan RM500 juta skim perumahan mampu milik mula diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 2012 sebanyak RM110 juta dan RM117 juta pada tahun 2013.

Katanya lagi, kerajaan negeri mencatat lebihan dalam kewangan tahunan sejak 2008 hingga tahun 2013.

“Lebihan tersebut telah menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan Kumpulan Wang Disatukan Negeri kepada RM826 juta pada tahun 2013 berbanding hanya RM461 juta pada tahun 2008,” katanya lagi. – Roketkini.com.

Tiada ulasan: