Jumaat, 21 November 2014

Bantuan kerajaan luar jika Bank Negara enggan siasat dana 1MDB

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk melakukan audit terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, satu surat akan turut dihantar kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz untuk siasatan di bawah akta Anti Pengubahan Wang Haram.

Naib presiden KEADILAN itu berkata, ia bagi menyiasat dana berjumlah RM7 bilion yang disimpan secara sulit di bank luar pesisir Kepulauan Cayman.

“Sekiranya bank negara betul-betul tegas mengenai akta anti-penggubahan wang haram ini, bank negara sepatutnya mempunyai pernyataan maklumat mengenai aliran wang ini. Ini bukan jumlah sedikit tetapi RM7 bilion,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Beliau berkata perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalin bulat-bulat jawapan (copy paste) kepada soalan mengenai butiran lanjut tentang Syarikat yang berkait dengan 1MDB (Bridge Partner).

Najib katanya, memberi jawapan bahawa 1MDB memastikan fi dan perbelanjaan dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Manakala maklumat lain yang dinyatakan dalam penyata kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat.

“Ini satu penghinaan yang besar kepada dewan apabila PM langsung tidak mahu menjawab dan “copy paste” jawapan,” katanya.

Rafizi juga berkata sekiranya bank negara tidak mahu menyiasat perkara ini, beliau akan meminta bantuan kerajaan dari luar untuk menyiasat skandal berkenaan.

“Saya akan tunggu jawapan rasmi dengan Bank Negara Malaysia dahulu. Kalau kita dapat jawapan “copy paste” begini, kita akan bekerjasama dengan Singapura, Hong Kong dan Switzerland,” ujarnya.

Katanya, Najib tidak akan memberi sebarang jawapan kepada semua soalannya mengenai 1MDB dan itu sangat membimbangkan kerana rakyat tidak mengetahui status wang tersebut.

“Fokus saya sekarang ialah berapa banyak duit (1MDB) yang tinggal, di mana wang ini dan adakah pelaburan itu berkaitan dengan perdana menteri,” katanya.

Tiada ulasan: