Anggota penguatkuasa MPJ menurunkan poster ah long yang terdapat sekitar Jasin. Anggota penguatkuasa MPJ menurunkan poster ah long yang terdapat sekitar Jasin.
 
 
JASIN - Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus proaktif membanteras iklan dan poster ah long dengan menurunkan lebih 1,000 keping iklan berkenaan dalam Operasi Menurunkan Iklan Haram, kelmarin.

Yang Dipertua MPJ, Hazudin Hashim berkata, iklan dan poster yang diturunkan merupakan iklan tanpa kebenaran yang dipasang di sekitar Jasin.

Menurutnya, tindakan menurunkan iklan tersebut dilakukan secara berkala iaitu empat kali sebulan bagi memastikan daerah Jasin sentiasa bersih daripada iklan haram.

“MPJ sentiasa mengambil tindakan berterusan dalam menangani masalah pemasangan serta penampalan poster ah long dan iklan tanpa kebenaran di sekitar daerah ini.

“Antara tindakan diambil adalah seperti menurunkan dan mengikis pelekat yang kebanyakannya merupakan iklan awam termasuk iklan memberi pinjaman wang,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, tambah Hazudin, pihaknya turut menahan tiga individu yang sedang leka memasang poster haram itu dan dikenakan kompaun sebanyak RM250 setiap seorang.

Menurutnya, MPJ komited menjadikan daerah Jasin sifar dengan aktiviti pemasangan poster ah long dan iklan tanpa kebenaran.

“Dari masa ke semasa, kita akan  terus memantau aktiviti pemasangan poster ah long dan iklan haram di daerah ini, dan dalam masa sama tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan oleh pihak PBT.

“Saya juga ingin mengingatkan masyarakat khususnya di daerah Jasin agar tidak memasang iklan haram serta menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan kerana tindakan tegas akan diambil,” katanya.