Rabu, 19 November 2014

Banjir: Unit Amal siap sedia buka bilik gerakan

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia (Unit Amal) bersedia berhadapan dengan situasi banjir yang biasa berlaku ketika musim tengkujuh setiap penghujung tahun.

Ketua Pengarah Unit Amal Malaysia, Johari Osman, berkata ketika ini jabatan amal di peringkat negeri-negeri sudh diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi situasi awal berhubung kejadian banjir.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Johari menegaskan ketika ini bilik gerakan banjir telah dibuka di Kuantan, Pahang dan juga Terengganu memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan yang selalu dinaiki air.

"Buat permulaan, bilik gerakan banjir sudah dibuka di Kuantan dan Terengganu, yang mana setiap bilik gerakan perlu ada tiga hingga lima petugas Amal yang bersedia 24 jam," tegas beliau.

Tambah Johari, dalam masa sama Jabatan Amal menjalinkan kerjasama erat dengan sebuah NGO yang ditubuhkan PAS iaitu Malaysia Emergency Disaster Management (MEDM) yang diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Katanya, mesyuarat berkaitan persediaan berhadapan situasi banjir sedang diaturkan bagi membincangkan keperluan khusus bagi persediaan tersebut.

"Utamanya, kita akan berbincang tentang kaedah komunikasi ketika banjir berlaku. Itu yang paling penting bagi memastikan maklumat awal berkenaan banjir diterima dengan baik.

"Kita tidak mahu menggunakan talian telefon kerana mungkin akan mengalami gangguan. Jadi akan ada beberapa kaedah lain yang akan dibincangkan kelak," tegaas beliau yang memimpin lebih 3000 petugas Amal seluruh negara. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: