Keadaan di sekitar Pekan Ringlet yang dilanda banjir kilat semasa tinjauan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air (KeTTHA) di Cameran Highland, hari ini. - Foto Bernama Keadaan di sekitar Pekan Ringlet yang dilanda banjir kilat semasa tinjauan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air (KeTTHA) di Cameran Highland, hari ini. - Foto Bernama
 
 
CAMERON HIGHLANDS - Operasi mencari dan menyelamat dua warga Indonesia yang masih hilang dipercayai tertimbus runtuhan tanah di kebun sayur Sungai Kabok di Lembah Bertam, di sini diteruskan pagi ini.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Morni Mamat berkata, pihaknya terpaksa menggunakan empat ekor anjing pengesan untuk menjejaki mangsa yang tertimbus.

"Kalau tiada mangsa yang ditemui, bomba akan rujuk kepada polis yang berkemungkinan mangsa dipercayai sempat melarikan diri.

"Ini kerana tidak ada saksi yang melihat mangsa tertimbus," katanya ketika ditemui pemberita di pusat kawalan operasi dan bencana di Lembah Bertam, di sini hari ini.

Katanya, usaha mencari mangsa berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak majikan kepada polis dan makluman mereka kepada bomba.

Morni berkata, 27 anggota dan pegawai bomba, 10 tentera dan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terbabit dalam usaha mencari mangsa di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, tiga orang disahkan maut dengan seorang pelajar lelaki, R. Punesh, 13, ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja, manakala seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, ditemui tertimbus di Lembah Bertam.

Seorang lagi mangsa, seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md Yousuf Miya, 66, meninggal dunia selepas ditemui tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.

Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat itu, turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Semalam, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat. - Bernama