Khamis, 6 November 2014

Banjir lumpur CH: Seorang dilaporkan masih hilang


Keadaan banjir lumpur di Cameron Highlands semalam apabila hujan lebat tidak berhenti yang mengakibatkan paras air empangan Ringlet penuh. - Foto Ihsan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Keadaan banjir lumpur di Cameron Highlands semalam apabila hujan lebat tidak berhenti yang mengakibatkan paras air empangan Ringlet penuh. - Foto Ihsan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia
 
 
CAMERON HIGHLANDS - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki dipercayai warga Nepal maut, manakala seorang kanak-kanak berusia 12 tahun disyaki hanyut arus deras dalam kejadian banjir lumpur di pusat peranginan itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, empat lagi dilaporkan cedera akibat tanah runtuh di beberapa lokasi antaranya pekan Ringlet, Kampung Baru Ringlet dan Kampung Ulu Merah.

Jurucakap bomba Cameron Highlands berkata, mangsa yang meninggal dunia ditemui tertimbus di Kampung Ulu Merah akibat tanah runtuh.

Dalam pada itu juga, pihaknya telah memindahkan seramai 150 penduduk kawasan berdekatan yang berisiko melibatkan 37 keluarga.

"Sehingga jam 10 malam semalam, jumlah penduduk yang dipindahkan semakin meningkat.

"Manakala paras air di pekan Ringlet agak meningkat ekoran hujan lebat yang berterusan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Morni Mamat berkata, pekerja kebun sayur yang maut itu adalah warganegara Nepal dan identitinya belum dikenal pasti.

"Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Baru Ringlet itu, seorang lagi lelaki warganegara Indonesia turut cedera," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Manakala seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Kuala Kelah turut dilaporkan hilang dalam kejadian hujan lebat dan tanah runtuh itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit sedang giat dijalankan.

Morni berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam10 malam tadi berkenaan dua kawasan di Cameron Highlands mengalami banjir dan tanah runtuh iaitu di Kampung Bertam dan Kampung Baru Ringlet.

"Kita juga menerima laporan tiga lelaki turut tertimbus di sebuah bengkel di Ringlet. Seorang darinya hanya tertimbus separuh badan dua lagi terperangkap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata mereka yang tertimbus itu terdiri daripada dua warga India dan seorang warga tempatan.

Ketiga-tiga mereka yang cedera parah itu berjaya diselamatkan dan kini dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Sementara itu Jurucakap Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Cameron Highlands berkata hujan lebat sejak lewat petang tadi menyebabkan air mula naik di sungai sekitar Pekan Baru Ringlet dan berlakunya banjir kilat kira-kira jam 7 malam tadi.

"Bagaimanapun kawasan di Lembah Bertam yang pernah berlaku banjir besar tahun lalu masih tidak terjejas setakat malam ini," katanya.

Pada Oktober tahun lepas, air dari empangan Ringlet di Lembah Bertam melimpah menyebabkan banjir lumpur dan mengakibatkan lebih 100 buah rumah rosak dan tiga maut.

Tiada ulasan: