Jumaat, 7 November 2014

Aolidariti bersama #UM8 desak gugurkan pertuduhan

ARIF ATAN 

 

 


KUALA LUMPUR: Tindakan pentadbiran Universiti Malaya (UM) menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan mengenakan beberapa pertuduhan terhadap lapan mahasiswa secara terpilih susulan Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Oktober lalu dilihat sebagai bercanggah dengan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Zarin Maszalan berkata demikian ketika mengulas tindakan tatatertib mengikut akta drakonian tersebut termasuk ke atas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Khairol Najib Hashim.

"Kami diperingkat PMIUM mendesak UM menggugurkan semua tuduhan ke atas lapan mahasiswa ini serta-merta dan mengajak orang ramai untuk hadir bersolidariti bersama-sama pada hari Jumaat ini," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa PMIUM, Anis Syafiqah berkata, nilai kebebasan akademik tidak seharusnya terbelenggu dalam ruang lingkup teori sebaliknya mengasak idealisme mahasiswa kepada pengamalan ilmu melalui aktivisme.

"Mahasiswa semakin sedar akan hak mereka sebagai 'stakeholder' utama universiti dan terus giat memberi penerangan kepada masyarakat terutamanya warga kampus dalam usaha membumikan nilai kebebasan akademik di universiti.

"Tidak kira yang ditindas itu seorang tokoh mahupun rakyat bawahan di ceruk kampung, di mana ada kezaliman, di situ mahasiswa bangkit," tegas Anis lagi.

Untuk rekod, Syamimi Munira merupakan satu-satunya mahasiswi yang didakwa oleh pihak pentadbiran UM mengikut Kaedah-kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar 1999) kerana mengambil bahagian dalam program Pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 tahun dari UM ke Penjara di Dataran Dewan Tunku Canselor UM.

Pertubuhan berkaitan mahasiswa seperti Pro?Mahahsiswa UM (Pro-M UM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Sisters In Movement dan Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) bersolidariti mengadakan "Occupy Gazebo" bertempat di Gazebo di Kompleks Perdana Siswa universiti tersebut.

Bermula di perhentian bas utama UM, gerakan protes sempena prosiding ke atas lapan mahasiswa terbabit yang dijadualkan bermula jam 9 pagi ini turut diisi dengan teater senyap dan persembahan musik dari Accino & Gang manakala slot ceramah di sebelah petangnya.

Dalam hal berkaitan, Presiden Gamis, Abdul Malik Ab Razak berkata, cengkaman pengaruh parti politik di kampus berlaku sehingga merosakkan budaya intelektualisme dan perbahasan ilmu secara adil dan seimbang.

"Tindakan tidak adil kepada mahasiswa menjadi kayu ukur kegagalan kampus Malaysia dinobatkan sebagai kampus yang terulung di peringkat antarabangsa.

"Jika universiti benar-benar bersih dari pengaruh parti politik, izinkan semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dibenarkan masuk ke kampus atau semua ahli parti politik tidak dibenarkan sama sekali. Pihak pentadbiran harus bersih dari pengaruh mana-mana parti politik dan bersikap adil," ujar Malik.

Bagi jurucakap WUFI? Pro Mahasiswa UIAM, Shazwan Ismaon, budaya sekatan terhadap kegiatan pelajar menggunakan akta lapuk Auku itu digunakan atas kepentingan politik yang turut mendidik mahasiswa untuk menjadi takut (culture of fear) di kampus.

"WUFI bersama lapan orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menjadi mangsa akta zalim ini dan WUFI menyeru kepada semua mahasiswa agar terus meningkatkan momentum menentang AUKU yang bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Mahasiswa tidak akan mengalah dengan gertakan akta zalim, Auku. Ayuh bersolidariti bersama UM8!" tegas Shazwan lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: