Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
PUTRAJAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan perjalanan prosiding rayuan terakhir berhubung sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Menurutnya, lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan kes ini telah mendengar dengan teliti setiap hujahan yang dikemukan oleh barisan peguamnya.

"Saya tidak sedikit pun berasa bimbang kerana barisan peguam yang dahulunya diketuai oleh mendiang Karpal Singh dan kini Datuk Seri Gopal Sri Ram telah melakukan tugasan dengan baik," katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah petang tadi.

Beliau berkata, segala dakwaan yang dikemukakan oleh pendakwa berjaya dipatahkan oleh barisan peguam bela.

Peguam bela, Ram Karpal Sigh berkata, perbicaraan yang memakan masa lapan hari ini mungkin rayuan paling lama dalam sejarah Mahkamah Persekutuan

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di luar mahkamah menyifatkan kes liwat II sangat rumit apabila terdapat banyak isu sampingan yang diketengahkan oleh pihak pembelaan.

Menurutnya, adalah perkara biasa apabila hakim mengambil masa untuk membuat keputusan.

"Terpulang kepada panel hakim untuk menentukan tarikhnya dan Ia ( keputusan) boleh jadi minggu depan atau dua minggu lagi, " katanya.