KUALA LUMPUR - Blogger terkenal, Datuk Ahirudin Atan atau lebih dikenali Rocky Bru menegaskan Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk mengingatkan blogger dan keyboard warrior agar tidak keterlaluan dalam memuat naik sebarang kenyataan di media sosial.
Beliau berkata, tiada keperluan untuk memansuhkan akta tersebut kerana ia bukan sahaja masih relevan malah lebih relevan pada masa kini.
“Akta Hasutan lebih relevan pada masa ini (berbanding sebelum ini). Kerana trend semasa yang dihadapi lebih bahaya dan lebih senyap. Kalau dulu hasutan berada dalam ruang lingkup yang lebih kecil tetapi sekarang lebih mudah luas untuk disebarkan.
“Orang ramai boleh sebarkan khabar angin dari internet dan telefon dengan mudah. Jadi adakah anda rasa perlu untuk dihapuskan?,” katanya.
Namun, beliau bersetuju akta itu dimansuhkan jika ada akta pengganti yang lebih berkesan untuk membendung perkara menghasut.
"Kalau tidak (ada akta pengganti) lebih baik dikekalkan,” katanya selepas menjadi panel di Persidangan Mahasiswa Nasional 2014.
Ahirudin berkata, dalam sejarah perkembangan internet negara, penggunaan akta hasutan dilihat memberi impak yang sangat berkesan terutamanya kepada blogger.
“Kerajaan telah guna akta itu hanya beberapa kali. Setiap kali akta itu digunakan impak sangat berkesan. Contohnya dalam satu kes seorang blogger terkenal lari ke luar negara sebab akta hasutan.
“Disebabkan itu, blogger yang banyak mengutarakan komen yang boleh memecahbelahkan bangsa dan agama di negara terus mendiamkan diri. Maksudnya akta ini efektif, jadi kenapa perlu buang kerana kalau buang akan beri peluang lebih besar kepada pihak yang mahu manipulasikan sesuatu keadaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan