Ahad, 9 November 2014

Abim: Iktiraf transgender cemar institusi Islam

MALAYSIAKINI






NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berharap rayuan akan dikemukakan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengiktiraf hak golongan transgender.

Ketua biro undang-undangnya, Khairul Anwar Ismail berkata, keputusan tersebut mencemarkan institusi Islam dan dianggapnya sebagai “virus” yang akan memusnahkan agama tersebut.

Menurutnya, keputusan itu secara langsung membatalkan peruntukan undang-undang Syariah di seluruh negara yang menetapkan kesalahan bagi orang lelaki berpakaian wanita.

“Keputusan (ini) benar-benar mencemar, menghina dan menjatuhkan martabat institusi agama seperti Mahkamah Syariah, jabatan agama negeri (dan) institusi fatwa,” katanya.

Namun, yang lebih membimbangkannya, keputusan berkenaan akan membolehkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) mengemukakan tuntutan lain.

Tambahnya, beliau bimbang golongan LGBT itu akan mencabar peruntukan berhubung hak persamanaan, kebebasan diri, kebebasan bergerak, bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Perkara yang paling ditakuti sekali ialah pada kemuncaknya, perjuangan untuk menuntut untuk dihalalkan hubungan homoseksual dengan memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

“(Mereka akan) menuntut untuk membenarkan perkahwinan sejenis, menuntut untuk dihalalkan pertukaran menukar jantina, dan sebagainya di atas nama kebebasan, dan persamaan,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan perlembagaan.

Keputusan berkenaan secara tidak langsung mengiktiraf hak golongan transgender yang mengalami disforia gender dan berpakaian serta berkelakuan seperti wanita.

Kes berkenaan difailkan oleh Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani,  28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, pada 2 Februari 20122, untuk mencabar kesahan peruntukan terbabit.

Mengikut Seksyen 66, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam bulan penjara dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Syariah.

Mereka menamakan kerajaan negeri Negeri Sembilan, pengarah jabatan agama Islam negeri, pengarah penguatkuasa syariah dan ketua pendakwaan sebagai responden.

Individu terbabit turut memohon perintah mahkamah untuk menghalang penahan dan pendakwaan ke atas mereka.

Tiada ulasan: