Jumaat, 21 November 2014

6 penduduk sesat di Gunung Padang Cik Mas

MALAYSIAKINI


Enam penduduk Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai dekat Baling tersesat di puncak Gunung Padang Cik Mas sejak tengah hari tadi.
  
Kesemua mereka seramai tujuh orang dikatakan memanjat gunung berdekatan kampung mereka itu bagi mencari pokok Paku Aji untuk dijual.

Difahamkan, mereka mula mendaki gunung itu sejak awal pagi tadi dan dipercayai tersesat di atas puncak gunung apabila mereka gagal mencari jalan turun, dan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan.
  
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Baling Mohd Sufian Alias yang mengetuai operasi berkata usaha menyelamat mereka dimulakan pukul 4 petang tadi setelah pihaknya dimaklumkan oleh penduduk kampung.
  
"Jumlah anggota bomba yang terlibat adalah seramai tujuh orang. Selain itu, turut terlibat dalam operasi menyelamat ini adalah polis, Jabatan Pertahanan Awam, RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan penduduk kampung," katanya hari ini.

Salah seorang daripada penduduk yang sesat dikenali sebagai Zainol Taib, 46, patah kaki setelah terjatuh di celah batu ketika mereka berusaha mencari jalan turun.
  
Anak mangsa, Farid Zainol, 21 yang turut sama memanjat gunung bersama bapanya dan penduduk kampung itu yang berusia antara 30-an hingga 40-an, berjaya turun dengan mencari jalan sendiri bagi mendapatkan bantuan penduduk kampung.
  
Salah seorang penduduk kampung yang terlibat dengan operasi menyelamat itu, Mohd Daud Hassan, 40 berkata untuk sampai ke puncak gunung itu memakan masa lebih tiga jam.
  
Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya berjaya membawa turun Zainol kira-kira pukul 10.15 malam ini. - Bernama

Tiada ulasan: