Sebuah
syarikat perlombongan China mendakwa telah membayar untuk ahli politik
BN mendapatkan gelaran Datuk bagi memudahkan operasi lombongnya di Bukit
Besi, Terengganu.
Li Yang, ketua eksekutif CAA Resources, memberitahu New York Times (NYT),
mendakwa dia telah membayar kira-kira AS$100,000 (RM336,501.90) bagi
setiap ahli politik, yang mempunyai kepentingan tidak langsung dalam
lombong itu.
Menurut laporan itu, Li, 27, yang merupakan anak lelaki hartawan besi
di China, didakwa berbuat demikian sebagai sebahagian daripada
rancangannya untuk "membina hubungan" dengan ahli politik dan pihak
kerabat.
"Jika kedua-duanya menyokong anda, maka anda boleh melakukan apa sahaja
yang anda mahu, kerana sumber asli semuanya dikawal oleh mereka," Li
dipetik sebagai berkata.
Menurut akhbar itu lagi, Li juga dipetik sebagai berkata bahawa dia "hanya mengikuti amalan biasa di Malaysia".
Dalam reaksinya, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (kiri) berkata beliau tidak tahu mengenainya.
"Ini tak ada dalam makluman saya. Maaf," kata Ahmad Razif, yang juga
bertanggung jawab atas sumber asli dalam mesej teks kepada Malaysiakini.
NYT berkata CAA beroperasi di Malaysia selepas Beijing bulan lalu
mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan piawaian mengenai hak-hak
tenaga kerja, perlindungan alam sekitar dan hubungan masyarakat bagi
industri itu.
Di Bukit Besi, kata laporan itu, CAA menghindari potensi isu-isu tenaga
kerja dengan mengupah pekerja tanpa kesatuan dari Kemboja, Myanmar dan
Vietnam.
Para pekerja, kata Li, bekerja mengikut sif 12 jam, tujuh hari seminggu
dan dibayar berdasarkan berapa banyak perolehan lombong.
Para pekerja kolar putih, termasuk akauntan dan jurutera, dibawa dari China.
CAA juga menghindarkan daripada melakukan penilaian kesan alam sekitar
dengan membahagikan lombong itu kepada dua, masing-masing berkeluasan
kurang daripada 500 ekar.
Hanya lombong yang berkeluasan lebih besar daripada 500 hektar perlu dinilai untuk kesan alam sekitar.
Lombong Bukit Besi pernah menjadi lombong terbesar di dunia dan menjadi
sumber bekalan untuk industri besi keluli Jepun semasa Perang Dunia II.
Ia ditutup pada tahun 1971
Tiada ulasan:
Catat Ulasan