MALAYSIAKINI
“Mahasiswa semua, berjuang, terus berjuang,” begitulah kata-kata
semangat Wahidah Salleh, mangsa perobohan rumah di Kampung Chubadak
Tambahan oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu
lalu.
Warga emas yang mesra dipanggil 'Opah' Wahidah membangkitkan semangat
kepada gerakan mahasiswa di Unversiti Malaya (UM) dalam program "Opah
masuk UM" malam tadi.
Katanya
- yang kini terpaksa menghuni satu pondok sementara di kampung itu -
kemudian disambut dengan laungan "Hidup Opah" oleh kira-kira 300 hadirin
di medan selera di Kolej Kediaman Tujuh.
Walaupun berlangsung dalam keadaaan hujan lebat, ia tidak menghalang
mahasiswa, kakitangan (UM) dan juga orang awam memenuhi medan itu pada
jam 9 malam bagi mendengar permasalahan Opah Wahidah.
Menjangkau usia 72 tahun, Opah wahidah kelihatan penat namun perasaan
gembira tergambar di wajahnya apabila mengucapkan terima kasih kepada
mahasiswa yang membawanya ke kampus perdana itu.
“Opah ucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar semua kerana sudi bawa opah ke dalam universiti,” katanya lagi.
Sementara mahasiswa pula turut mengadakan kutipan derma buat Opah Wahidah bagi meringankan beban yang ditanggungnya kini.
Menurut Opah Wahidah lagi, walaupun dia berasa semakin rasa tenang
kerana penderitaannya mendapat perhatian pelbagai pihak namun ada
kerisauan yang masih terbuku di dalam hatinya.
“Opah rasa semakin tenang, tapi ada dua perkara yang opah sangat risau.
(Opah) tinggal di khemah tu opah takut pengganas (samseng) dan juga
ular,” katanya.
Rasa terbela
Opah Wahidah yang hadir bersama dua cucunya turut berkata bahawa beliau
merasa terbela kerana mahahsiswa UM banyak membantunya ketika dalam
kesusahan.
"Opah rasa terbela," katanya.
"Mahasiswa teruskan berjuang untuk kita (yang menerima nasib sepertinya)," katanya lagi.
Sementara
itu, Presiden Mahahsiwa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairol Najib
Hashim berkata acara itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada
mahasiswa mengenai realiti yang berlaku terhadap penduduk Kampung
Chubadak Tambahan.
“Sebelum ini, kita bawa isu ini di luar universiti dan juga sosial
media. Mahasiswa yang datang pada malam ini semua kerana ingin tahu dan
mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk Kampung Chubadak
Tambahan,” katanya.
Menurut Khairol lagi, suara mahasiswa dan juga Gerakan Rakyat Bela
Kampung Chubadak Tambahan (BELA) telah didengari dari pihak pemaju
selepas beberapa kali rundingan dibuat.
"Mereka bersetuju ke atas semua tuntutan kami," katanya sambil merujuk demonstrasi membantah perobohan rumahnya sebelum ini.
Menurutnya,
rundingan dengan pihak pemaju pada hari tersebut disambut baik
antaranya bersetuju memberi gantian rumah kos sederhana yang akan dibina
di tapak Kampung Chubadak kepada Wahidah dan suaminya.
Katanya lagi, bayaran pampasan setimpal diberikan termasuk kos
perpindahan dan bayaran sewa rumah transit di PPR Batu Muda akan
ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga mereka dipindahkan semula ke
rumah gantian.
Pemaju juga bersetuju tidak menuntut kos mahkamah dan bayaran ke atas
kes yang dimenangi oleh pihak pemaju serta bersetuju untuk menanggung
segala kos tersebut, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan