Jumaat, 21 November 2014

1MDB: Jawaban Najib hanya 'copy and paste'

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah mengajukan 4 soalan rasmi bagi sidang Dewan Rakyat kali ini untuk mendapat maklumat lanjut mengenai pelaburan 1MDB dari Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hari ini, beliau mendapat jawaban daripada Najib bagi soalan no. 38 yang saya ajukan.

Malangnya, kata beliau Najib tidak memberi sebarang jawapan malah menyalin bulat-bulat (copy and paste) perenggan yang sama dalam soalan-soalan lain berhubung 1MDB setakat ini.

Jawapan Najib mengenai perkara itu adalah seperti di bawah yang diulang dalam soalan-soalan lain: “1MDB memastikan fi dan perbelanjaan adalah dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Apa-apa maklumat lain yang telah dinyatakan di dalam penyata kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat”.

Menurut Rafizi, keengganan Najib memberi maklumat mengenai pelaburan 1MDB adalah satu penghinaan kepada Dewan Rakyat.

Namun, perkara yang lebih membimbangkan beliau ialah keengganan itu memberi gambaran ada sesuatu yang perlu disembunyikan.

Katanya, oleh kerana skandal 1MDB membawa risiko besar kepada kedudukan kewangan negara dan Najib menyembunyikan maklumat dari rakyat, beliau percaya masanya telah tiba supaya institusi-institusi utama negara mengambil tindakan untuk campur tangan dalam menentukan di mana dan ke mana dana rakyat yang diambil 1MDB ini.

"Maka, pada hari ini saya akan menulis secara rasmi kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB bagi menentukan apakah risiko yang dibawa oleh 1MDB kepada tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan setakat ini, mengambil kira prestasi kewangan 1MDB setakat ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga akan menulis secara rasmi pada hari ini kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya memulakan siasatan terhadap aliran dana dan pemindahan dana keluar masuk negara yang melibatkan 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act).

Tambahnya, mengikut peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) yang diterima pakai secara bersama di seluruh negara, sebarang aliran dan pemindahan wang keluar masuk sesebuah negara perlu diisytiharkan dengan maklumat terperinci mengenai latar belakang pemindahan itu seperti dari mana wang itu datang, siapa yang menguruskan wang itu, syarikat mana terbabit, untuk apa wang itu digunakan dan lain-lain.

Beliau yakin Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akan membuat tindakan yang betul dengan menyiasat dan mengumumkan butiran dana 1MDB yang sebelum ini sering kali dipindahkan ke seluruh dunia.

"Jika saya tidak mendapat sebarang maklumat dari Bank Negara Malaysia, saya akan membuat permohonan rasmi kepada badan-badan serupa di Hong Kong, Singapura dan Switzerland agar siasatan rasmi di bawah peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) juga dimulakan di negara-negara ini terhadap 1MDB," ujarnya lagi.

Rafizi akan mengedarkan surat-surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia menjelang akhir hari ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: