Semua tujuh MCA cawangan menunjukkan surat protes terhadap penyenaraian calon bagi jawatan Pengerusi
JKKKB dan Ahli Majlis Daerah.
BERA - Tujuh cawangan MCA protes tindakan pucuk pimpinan MCA Bahagian yang menolak senarai pencalonan bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) dan Ahli Majlis Daerah.
Mereka dari Cawangan Kemayan, Taman Mewah Kemayan, Triang, Taman Desa Triang, Taman Raya Triang, Mengkarak Stesen dan Mengkarak Baru mendakwa semua senarai calon yang diberi itu tidak dipertimbangkan, malah ditolak mentah menyebabkan mereka berang apabila suara rakyat tidak dipedulikan.
Ketua Cawangan Kemayan, Peh Kim Kee berkata, setiap cawangan diminta mencalonkan satu nama yang sesuai dengan jawatan Pengerusi JKKKB atau Ahli Majlis Daerah tetapi kebanyakan senarai nama tidak diterima.
Menurutnya, bagi cawangan Kemayan, menjadi tradisi sejak penubuhannya sekitar 1960-an lagi, seorang ahli mereka akan dilantik memegang satu jawatan, dan tradisi ini kekal sebelum PRU lalu.
“Tetapi, selepas pelantikan pucuk pimpinan MCA Bahagian yang baharu, perkara itu dihapuskan, malah nama yang dicalonkan MCA Bahagian itu kedua-duanya dari cawangan yang sama.
“Kami diminta bertolak-ansur untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan kaum Cina, tetapi tindakan ini sebenarnya boleh memecah-belahkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Mengkarak Stesen, Seow Ee Ean berkata, pencalonan berdasarkan kroni turut berlaku menyebabkan mereka tidak berpuas hati dengan keadaan itu.
Katanya, mereka sudah memberikan nama yang benar-benar boleh memikul tanggungjawab tetapi ditolak pihak pengurusan MCA Bahagian.
“Saya tidak pasti punca senarai nama langsung tidak diterima, tetapi apabila melakukan semakan kepada semua calon terbabit, ada sesuatu yang tidak kena.
“Bukan mahu menuduh tetapi jika calon itu adalah dalam kalangan yang boleh bekerja, mungkin yang tidak kisah. Tetapi, apabila ada yang tidak boleh bertutur Bahasa Melayu, itu masalah besar bagi kami,” katanya.
Ee Ean berkata, jika pemimpin tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, sudah pasti kehidupan mereka bertambah pincang.
Ketua Cawangan Taman Mewah Kemayan, Woo Pui King berkata, surat mengenai perkara ini sudah dihantar kepada Ketua MCA Negeri Pahang dan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, walaupun calon sedia ada sedang dalam proses temuduga perjawatan, namun perkara ini perlu diketengahkan supaya MCA Bahagian buka mata bahawa tugas pencalonan adalah tugas setiap MCA Cawangan.
“Sepatutnya, senarai yang dicalonkan sahaja dibawa ke peringkat negeri. MCA Bahagian tidak sepatutnya masuk campur dalam soal penyenaraian calon,” katanya.
Pui King berkata, kebangkitan tujuh cawangan MCA ini bukan untuk meruntuhkan MCA di Parlimen Bera ini tetapi membuka mata rakyat mengenai hak mereka untuk memilih pemimpin mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan