Ahad, 2 Mac 2014

Tiada lagi tolak ansur pada suar

MALAYSIAKINI

 

 
 
 
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang untuk meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan skuad kebangsaan dengan pasukan pelawat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan.

"Kita kena ingat soal keselamatan. Selama ini saya bertolak ansur kerana pembakaran suar, bom asap dan mercun tidak mengganggu perlawanan dan mengancam keselamatan. Tetapi apa yang berlaku semalam sudah lebih sangat dan perlu diambil tindakan tegas," katanya di George Town hari ini.

Beliau diminta mengulas kekacauan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Selayang semalam dihentikan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung.

Kedua-dua pasukan akhirnya seri tanpa jaringan.

Khairy mahu PDRM mengemukakan laporan kepada FAM berkaitan punca kejadian tersebut.

"Bagi saya kalau pembakaran suar dan bunga api sudah sampai tahap boleh ganggu perlawanan, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima dan sekiranya sudah sampai tahap ganggu perlawanan dan keselamatan ia adalah serius," katanya.

Beliau melancarkan program berbasikal 'Wheel's For All' anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) menuju Universiti Songkla, Thailand.

Ia disertai 30 pelajar USM dari 1 hingga 3 Mei depan.- Bernama

Tiada ulasan: