Isnin, 10 Mac 2014

Siasatan dalaman terhadap Jabatan Imigresen berhubung pasport curi dalam MH370, kata Zahid

THE MALAYSIAN INSIDEER

 
Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menegaskan siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370.

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan peserta konvoi Kembara Bumi Suci 2014 dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana hari ini.

Ahmad Zahid berkata siasatan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat.

Katanya buat masa ini tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat berhubung isu itu memandangkan siasatan baru sahaja bermula iaitu sebaik sahaja pemilik sebenar pasport berkenaan mendakwa dokumen masing-masing telah dicuri.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata adalah sukar untuk menentukan kesahihan sesuatu pasport antarabangsa yang dibawa seseorang pemegang memandangkan bukan semua negara menggunakan sistem biometrik dan kod bar seperti Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media di Sepang hari ini mengesahkan hanya dua penumpang yang mempunyai pasport palsu bagi menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kedua-dua penumpang terbabit masing-masing menggunakan pasport warganegara Itali dan Austria.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. – Bernama

Tiada ulasan: