Sabtu, 1 Mac 2014

Siapa pengganti Taib untuk kubu kuat BN-PBB Balingian?

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Habis cerita Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengundurkan diri daripada dunia politik, pemerhati politik kini beralih fokus kepada kubu kuat Barisan Nasional (BN) Balingian yang dikuasai suku kaum Melanau.

Dengan selesainya persoalan siapakah pengganti Abdul Taib sebagai ketua menteri, semua perhatian kini adalah untuk Balingian yang boleh menjadi medan untuk ketua menteri Sarawak yang baharu dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem (gambar) menunjukkan kemampuannya.

Satu pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan tidak lama lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang telah menjadi kubu kuat BN-PBB sejak lebih 40 tahun lalu.

Kini, teka-teki mengenai siapa yang akan dipilih menjadi calon untuk kerusi DUN Balingian hangat diperkatakan.

KERUSI MAJORITI MELANAU

Sudah pasti, calonnya perlu dari kaum Melanau.

Terdapat kira-kira 130,000 orang Melanau di Sarawak, iaitu kira-kira 6% daripada keseluruhan penduduk negeri itu.

Kaum Melanau ini terdiri daripada penganut pelbagai agama iaitu Kristian, Muslim dan ada juga yang penganut kepercayaan tradisional yang boleh ditemui di kawasan Mukah-Balingian.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Balingian ini.

Paling atas dalam senarai ialah bekas menteri persekutuan Datuk Seri Effendi Norwawi dan anak lelaki sulung Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir.

Bagaimanapun, kedua-duanya sejak beberapa minggu kebelakangan sudah menafikan kenyataan berkenaan. Effendi telah mengeluarkan kenyataan kepada media tempatan di Sarawak dengan menyatakan beliau tidak berminat.

Sementara itu, Bekir secara peribadi memberitahu pemberita di Kuching beberapa hari lalu bahawa terlalu awal untuk beliau terlibat secara serius dalam politik kerana beliau sibuk dengan urusan perniagaannya.

Dengan ketiadaan tokoh-tokoh hebat itu, sumber dalaman parti menyatakan senarai calon untuk kerusi Balingian kini melibatkan beberapa nama sahaja.

Mereka itu termasuk jurutera Andrian Alphonsus Dorhan, ahli perniagaan Paul Druce, bekas setiausaha tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Akit Sebli dan Dr Anthony Valentine Laiseh, bekas Timbalan Residen Mukah yang kini Timbalan Residen Betong.

Ada juga cakap-cakap seorang siswazah yang berusia 30an dengan identitinya dirahsiakan turut dikenal pasti untuk bertanding.

Calon pilihan raya kecil ini berkemungkinan diketahui minggu depan apabila parti di bawah presiden baharu, Tan Sri Adenan Satem mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk membuat pilihan mereka.

TRADISI DAN PERSEFAHAMAN

Pemerhati politik percaya untuk PRK ini, parti itu berkemungkinan meletakkan calon berketurunan Melanau-Kristian sebagai peraturan tradisi yang diwarisi PBB daripada parti sebelumnya iaitu Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa).

"Kesefahaman yang dicapai mengenai peruntukan kerusi melibatkan kawasan Mukah ialah sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada kumpulan lain," kata bekas ahli dewan undangan negeri untuk Balingian, Datuk Salleh Japaruddin.

Salleh, bekas naib presiden PBB dan dua pupu Taib menjelaskan kerusi Dalat dan Balingian yang termasuk dalam kawasan pilihan raya Mukah, diwakili oleh Datuk Fatimah Abdullah dan Taib.
Kerusi Parlimen Mukah pula diwakili Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah.

SOKONGAN MENINGKAT

Menurut pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, walaupun siapa yang menjadi calon pilihan PBB, parti itu akan mengekalkan kerusi Balingian dengan mudah.
"Untuk PRK ini, saya percaya calon BN dengan mudah boleh memperoleh antara 85-90% undi. Sebabnya mudah sahaja, malah rekod sebelum ini menunjukkan setiap kali calon baru diperkenalkan, sokongan meningkat," katanya.

Dalam ketika ramai pemerhati politik percaya kemenangan pasti berpihak kepada BN untuk PRK Balingian, ia masih menjadi medan ujian yang baik untuk kepimpinan baharu Sarawak.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Institut Pengajian Asia Timur Unimas menjelaskan pilihan raya kecil Balingian akan mencerminkan penerimaan akar umbi untuk ketua menteri baharu, Tan Sri Adenan Satem memandangkan kawasan pilihan raya itu mengandungi pelbagai kumpulan etnik meskipun yang besar sekali ialah Melanau.

"Ia boleh menjadi medan ujian untuk pucuk pimpinan baharu Sarawak dalam memperkenalkan muka baharu di samping menguji tahap penerimaan sebelum pilihan raya negeri yang dijadual diadakan pada pertengahan 2016," kata Awang Azman. - Bernama

Tiada ulasan: