Isnin, 17 Mac 2014

Petugas bawahan MAS terlibat MH370 disiasat

MH370


SEPANG - Semua petugas bawahan Malaysia Airlines (MAS), yang terlibat dalam pengendalian pesawat bagi Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac telah disoalsiasat oleh polis, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini selain 239 penumpang dan kru pesawat berkenaan.

"Pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan mereka ke atas semua kru dan penumpang MH370, serta semua petugas bawahan yang mengendali pesawat itu," kata Hishammuddin pada satu taklimat akhbar mengenai pencarian pesawat MAS itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak sedia mengulas teori spekulatif berhubung apa yang menyebabkan penerbangan itu melencong dari laluan asalnya kerana bimbang ini boleh mengganggu siasatan.

Awal hari ini dalam satu kenyataan, beliau berkata jurutera MAS, yang ada urusan dengan pesawat itu sebelum ia berlepas, juga disiasat.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat, Hishammuddin berkata bilangan negara yang terlibat dalam operasi itu kini meningkat dari 14 kepada 25.     

"Dalam 24 jam lepas, Perdana Menteri telah bercakap dengan Perdana Menteri Bangladesh, Presiden Turkmenistan, Presiden Kazakhstan dan Perdana Menteri India.

"Semalam, Kementerian Luar memberi taklimat kepada wakil-wakil dari negara-negara di sepanjang koridor utara dan selatan," kata beliau.

Menyentuh soal penyenggaraan pesawat, beliau berkata MAS mengesahkan pesawat itu memang tertakluk kepada program senggaraan yang diperlukan iaitu 'the Boeing Maintenance Planning Document' dan pesawat berkenaan telah diservis sepenuhnya serta layak untuk terbang.

Beliau berkata, pengendali rangkaian satelit global, pasukan Inmarsat tiba semalam untuk membantu pasukan penyiasat dari Malaysia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - Bernama

Tiada ulasan: