Khamis, 6 Mac 2014

Murtad: Jangan berbohong dengan gambar palsu

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyeru umat Islam supaya meneliti sesuatu berita hingga jelas kebenarannya sebelum memutuskan tindakan.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyatakan demikian ekoran sehari dua ini negara digemparkan oleh beberapa keping gambar yang diedarkan di alam maya melalui Facebook, berbaur hasutan terhadap pihak yang dituduh berusaha memurtadkan orang Melayu dengan memeluk agama Kristian.

Beliau berkata, walaupun gejala murtad memang wujud tetapi membesar-besarkannya dengan  menggunakan gambar-gambar yang tidak berkaitan adalah perbuatan pemalsuan yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, Allah SWT melarang keras pembohongan sebagaimana yang difirmankan di dalam ayat 105 surah al-Nahl dan melalui hadith Nabi SAW yang mulia "sesiapa yg menipu maka dia bukan dari kalangan ku". (HR Abu Hurairah)

“Sebagai umat Islam di negara yang kita kasihi ini, kita perlu mengambil pendekatan berdakwah dengan hikmah seperti mana firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl 125 yang bermaksud: Dan serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat peringatan yang baik dan perbahasan yang terbaik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, gejala murtad di Malaysia perlu ditangani secara menyeluruh dengan menyelesaikan punca sebenar seorang Muslim tergamak untuk meninggalkan agama Islam.

“Berdasarkan pengalaman mereka yang terlibat memberi khidmat nasihat kepada pemohon murtad di beberapa buah negeri, didapati gejala ini adalah gejala yang parah, tetapi majoriti yang memohon keluar dari Islam adalah saudara baru dan bukan dari bangsa Melayu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Ikram menyeru umat dan badan-badan Islam untuk melaksanakan tanggungjawab persaudaraan sesama kita, berdakwah kepada yang belum Islam dan mengambil berat tentang kebajikan saudara-saudara baru sebagai usaha untuk memelihara kesucian agama Islam dan membendung gejala murtad di Malaysia.

Justeru, kata beliau Ikram juga menyeru umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk bersikap tabayyun iaitu meneliti dan menyemak sesuatu berita hingga jelas benarnya berita berkenaan sebelum memutuskan tindakan atau pandangan.

Beliau berkata, sikap demikian amatlah penting dalam menjaga kemurniaan Islam dan keharmonian agama serta kaum terutama apabila ada pihak yang mungkin ingin memecahbelahkan rakyat dan umat Islam

Tiada ulasan: