Selasa, 25 Mac 2014

MH370, pengalaman dan pengajaran di sebalik kehilangan




Oleh Md Izwan


Berstatus wartawan muda dan setahun jagung, inilah kali pertama saya berada di lapangan berdepan dengan krisis hebat, dengan mata dunia menumpukan kepada Malaysia.

Ketika ahli keluarga penumpang kesedihan dan pembaca yang mahu setiap laporan mengenai kehilangan MH370, wartawan juga bergelut untuk berikan liputan terbaik.

Selepas masuk dua minggu, terasa kerdilnya diri. Banyak yang dipelajari dan banyak juga tidak diketahui.

Suasana sidang media yang sesak dengan beratus wartawan seluruh dunia, ahli politik dan pihak berkuasa tempang bergelut menjawab soalan dan ahli keluarga penumpang yang berang, terbuka sedikit mata rakyat Malaysia.

Amerika Syarikat datang membantu, negara dunia besar lain seperti China dan Perancis menghulur bantuan, tersedar sedikit kekurangan kita.

Saya mula terfikir bagaimana dengan kumpulan yang dahulunya menjerit anti-Amerika, ke mana hilang suara mereka?

Ke mana suara-suara anti-Amerika?

Tidakkah kita malu apabila yang kita anti ini pula datang membantu?

Sehinggakan perdana menteri meminta bantuan Pentagon, saya sedang bayangkan kalau-kalau ketika ini bekas perdana menteri paling lama Malaysia, adakah dia sendiri akan telefon Amerika bercakap dengan Obama?

"Hai Mr Obama, I'm an anti-American from Malaysia, can I ask a favour of you?"

Ataupun Perkasa, Pekida menawarkan diri untuk jadi penyelam mencari pesawat dalam lautan.
Apa kata mereka? Apa yang wartawan lokal belajar? Selepas dua minggu, banyak spekulasi berlegar di ruang laman berita, sama ada cetak mahu pun atas talian.

Saya mula belajar untuk memilih sumber yang mempunyai kredibiliti dan yang mana tidak, saya belajar mengesahkan kesahihan suatu berita, kerana bukan rakyat Malaysia sahaja yang membaca tetapi satu dunia.

Minggu pertama, kita hanya tahu kehilangan MH370 beberapa jam selepas kali terakhir terputus hubungan, dikatakan kemungkinan terhempas di Laut China Selatan antara Vietnam dan Malaysia, dengan tiada lokasi sebenar daripada radar atau satelit, pada masa itu semua berharap penumpang dapat dijumpai dan terselamat.

Minggu kedua, tiba-tiba MH370 disahkan berpatah balik tanpa diketahui sebab selepas dikesan radar tentera dan satelit agensi yang dirahsiakan, operasi di Laut China Selatan dihentikan, tumpuan beralih pula ke koridor selatan dan utara, dan Australia mengatakan satelitnya menemui dua objek yang kemungkinan serpihan MH370 di perairan Lautan Hindi barat daya Perth.

Harapan untuk menemui penumpang selamat pudar.

Yang wartawan dapat belajar setakat ini; Laut China Selatan tidak terlalu dalam, Lautan Hindi 9-10 kali ganda ketinggian KLCC dan boleh mencecah 4000 meter dengan permukaannya hitam, lithium merupakan bahan mudah terbakar tapi tidak buah manggis, pihak berkuasa kita boleh mengubah kenyataan setiap hari, sidang media dipindahkan ke sebelah bangunan Umno untuk beri laluan kepada F1, F1 lebih penting daripada kehilangan MH370, dan semua sedang berdoa.

Tentang hubungan diplomatik dan kepimpinan pula, ramai yang katakan kepemimpinan Malaysia adalah anti-Amerika, tetapi kita minta juga bantuan Amerika Syarikat, sementara negara jiran Asean kita sama menolong dengan pelbagai bantuan aset dan teknologi, Amerika dan China pertama kali bersama-sama dalam misi pencarian, perdana menteri Australia memberitahu kepada semua ahli Parlimen mengenai penemuan dua imej satelit, kerajaan Malaysia hanya memberi taklimat kepada ahli parlimen mereka iaitu Barisan Nasional, pembangkang merajuk katakan tidak perlu beri taklimat dan boleh dapatkan maklumat daripada berita di media.

Mengenai pertahanan negara, tahun berapakah Malaysia punya radar? Teknologi apa yang mereka guna?

Kalau di lautan pengganas Sulu boleh menceroboh masuk, tidak mustahil juga di udara selepas ini.
Penantian suatu seksaan. MH370 masih hilang.M/Insider

Md Izwan adalah wartawan The Malaysian Insider

Tiada ulasan: