Khamis, 6 Mac 2014

Laporan Audit: Mengapa 9 kertas siasatan syor ditutup?

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan pihak Peguam Negara yang bertindak menyerahkan semula 9 kertas siasatan dengan syor menutup kes.

Kertas siasatan tersebut adalah daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran daripada beberapa kes pendedahan yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Saya minta pihak Jabatan Peguam Negara mendedahkan 9 kertas siasatan berkenaan dan justifikasi supaya kes-kes tersebut disyorkan untuk ditutup,” ujar Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff kepada Harakahdaily.

Katanya, Jabatan Audit Negara telah melakukan audit dengan berkesan, bagaimana pihak SPRM dan Jabatan Peguam Negara dengan begitu mudah ‘mengenepikan’ dakwaan salah laku yang telah didedahkan.

Ini, tambah beliau bukan kecuaian kecil dalam melaksanakan prosedur pentadbiran dan kewangan, ia adalah keraguan yang munasabah untuk disiasat dan diadili dengan sewajarnya.

Sebagai contoh, katanya dalam kes Projek Taman Dusun Bandar yang pernah diutarakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Tambahnya, terdapat satu kontrak untuk membekalkan 6 komponen peralatan playground dengan kos berjumlah RM194,200.

Namun, kata beliau penemuan audit mendapati hanya satu komponen sahaja dibekalkan dengan kos yang lebih tinggi iaitu RM230,000.

Justeru, beliau berharap agar pihak SPRM bertindak profesional dan lebih efektif dalam melakukan siasatan dan mendesak pihak Jabatan Peguam Negara tidak meremehkan kes-kes yang didedahkan dalam laporan audit berkenaan.

“Isu-isu penyelewengan dan ketirisan setiap tahun didedahkan oleh jabatan audit, namun seolah-olah ia didiamkan demi kepentingan politik pihak tertentu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: