Selasa, 4 Mac 2014

Kos perubatan klinik swasta naik senyap-senyap

MALAYSIAKINI





Kenaikan harga makanan dan petrol mendapat banyak perhatian namun ramai yang tidak menyedari mengenai pindaan ke atas satu undang-undang berhubung kawalan harga perkhidmatan rawatan kesihatan swasta.

Pindaan ke atas Jadual 13 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 diterbitkan dalam warta persekutuan pada 16 Disember 2013, yang memberi kenaikan kadar bayaran melibatkan kesemua kategori untuk rundingan dan prosedur perubatan.

Sebagai contoh, had kadar bayaran untuk rundingan pertama dengan pengamal perubatan umum sebelum ini ditetapkan antara RM10 hingga RM35 – namun mencecah paras antara RM30 hingga RM125 dengan kenaikan baru ini.

Bagi doktor pakar, kadar bayaran bagi rundingan pertama, antara RM30 hingga RM125, kini dinaikkan kepada had antara RM80 hingga RM235.

Kenaikan itu juga melibatkan prosedur perubatan antara 14 peratus hingga 18 peratus.

Sebagai contoh, kadar fi pakar bedah bagi kecederaan lumbar dinaikkan dari RM650 kepada RM745, rawatan pundi kencing dari RM1,875 kepada RM2,145 dan pemindahan buah pinggang dari RM4,150 kepada RM4,750.

Sekiranya prosedur tersebut memerlukan khidmat pakar bius, kos untuk perkhidmatan itu juga dinaikkan.

Kenaikan kos itu juga meliputi perkhidmatan pergigian. Sebagai contoh, kos bagi prosedur mencabut gigi yang tidak melibatkan pembedahan sebelum ini ditetapkan antara RM40 hingga RM250, tetapi kini ditetapkan antara RM45 hingga RM285.

Para MP yang merupakan pengamal perubatan ketika dihubungi menyatakan bahawa mereka sendiri tidak tahu menahu mengenai kenaikan kos tersebut kerana dilaksanakan secara senyap-senyap.

"Sebagai MP, saya tidak mengetahui perkara ini dan ia setentunya tidak dibangkitkan semasa persidangan Parlimen yang lalu,” kata MP Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong.

Seksyen 106(2) akta tersebut memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk meminda harga dalam Jadual 13 melalui arahan dalam warta, selepas rundingan dengan ketua setiausaha kemeterian.

Ini bermakna, prosedur tersebut tidak melalui Parlimen dan MP tidak perlu dirunding atau dimaklumkan.

Tiada ulasan: