Isnin, 17 Mac 2014

Kerajaan tidak sensitif bantahan awam terhadap acara hiburan liar

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid


Mapim memandang serius insiden 5 anak muda meninggal dunia manakala empat lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah dan arak berlebihan semasa menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil malam tadi, 15 Mac, 2014.

Tiga yang lain mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Semuanya adalah rakyat Malaysia berumur antara 21 dan 28 tahun.

Daripada lima tersebut, seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India, seorang lelaki Cina dan dua perempuan Melayu berumur antara 19 hingga 27 tahun.

Sembilan dilaporkan didakwa mengambil methamphetamine dan pengsan di tempat konsert Future Music Festival Asia 2014 berlangsung di stadium tersebut.

Mengikut maklumat perubatan dadah ini sememangnya sering disalah guna dan berpotensi memberi kesan pendarahan di otak jika diambil berlebihan .

Kami kesal betapa di kala seluruh negara resah dan cemas serta bersimpati dengan ahli keluarga MH370 yang hilang, negara dikejutkan dengan sikap liar anak muda terlibat dalam konsert yang tidak melambangkan budaya dan akhlak sepatutnya.

Pengumuman Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dipetik sebagai berkata, hari terakhir konsert itu, yang dijadualkan pada malam ini, dibatalkan adalah wajar dan sepatutnya dari awal lagi acara ini tidak harus diizinkan.

Kami tidak dapat menerima bagaimana konsert tiga hari itu dilulus yang dijangka menarik lebih 80,000 peminat untuk melihat barisan lebih 70 band dan artis dijadual membuat persembahan pada 13-15 Mac 2014.

Bantahan terhadap acara seperti ini sudah sering disuarakan, namun pihak berkuasa selalunya tidak mengambil kira protes yang disuarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat.

Sikap liberal yang diamalkan oleh pihak berkuasa diambil kesempatan oleh penganjur yang memberi tumpuan untuk mengadakan acara yang menarik golongan generasi muda.

Kekhuatiran masyarakat bahawa acara seperti ini akan memberi kesan negatif kepada generasi muda sudah kerap diangkat dan terbukti benar bila berlaku insiden yang tidak diingini.

Sehubungan itu, kami menegaskan pihak berkuasa sepatutnya mengambil kira bantahan masyarakat kerana jika kerajaan jujur mewar-warkan rakyat diutamakan, acara seperti ini tidak harus diluluskan.

Kami mengesa kerajaan tempatan bersikap tegas untuk membendung sebarang acara liar seperti ini dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak atasan terutama orang politik yang sering diperguna oleh penganjur untuk mendapat kelulusan. 

* Penulis ialah Presiden Mapim


Tiada ulasan: