Selasa, 18 Mac 2014

Kasta Politik Dalam Malapetaka Negara

shahbudindotcom


Di sebalik rungutan beberapa negara mengenai sikap tidak telus dan kemungkinan maklumat disembunyikan dalam menangani kemelut kehilangan pesawat MH370 yang sudah berlarutan sehingga hari ke-11 hari ini, kerajaan semalam menunjukkan kepada rakyat bahawa dakwaan itu semakin menunjukkan kebenarannya.

Ini berikutan dengan tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishamuddin Hussein yang hanya menjemput Ahli-Ahli Parlimen BN menghadiri taklimat mengenai kehilangan pesawat itu di sebuah lokasi di KL Sentral, pada jam 8.30 malam, 18 Mac 2014 iaitu hari ini.

Dalam surat jemputan yang turut bocor kepada Ahli-Ahli Parlimen PR, jelas menunjukkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen BN sendiri tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu sehingga kemungkinan bertindak memberikan salinan surat itu dengan tujuan ia didedahkan kepada pengetahuan umum.

Dengan hanya menjemput Ahli-Ahli Parlimen BN sedangkan insiden kehilangan pesawat yang masih menjadi misteri sehingga kini adalah suatu malapetaka kepada negara yang seharusnya memerlukan penglibatan dan dokongan semua pihak, adakah tindakan kerajaan yang menimbulkan banyak persoalan. Lebih-lebih lagi Parlimen merupakan institusi penting yang mewakili rakyat seluruh negara, tindakan kerajaan mengenepikan wakil-wakil dari pembangkang seperti meremehkan institusi tersebut.

Apakah yang cuba disembunyikan kerajaan dalam taklimat ini? Dan apakah kerajaan, di sebalik meminta rakyat agar jangan membuat sebarang spekulasi dan andaian, sebenarnya turut menpunyai andaian sendiri yang bersifat politik kepartian dalam insiden ini?

Adakah kerana semata-mata juruterbang pesawat yang hilang itu, Zaharie Ahmad Shah merupakan ahli seumur hidup PKR dan didapati hadir memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim ketika hukuman lima tahun penjara dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan, maka kerajaan terus membuat kesimpulan bahawa kejadian ini lebih bersifat politik kepartian dan sebarang maklumat harus dinafikan untuk diketahui oleh Ahli-Ahli Parlimen PR?

Sebelum ini, sebaik diketahui bahawa Zaharie adalah ahli PKR, beberapa penulis blog dan pengendali laman sosial pro UMNO telah pun mengaitkan insiden itu dengan kekecewaan dan rasa terganggu juruterbang tersebut terhadap hukuman yang dijatuhkan keatas Anwar itu. Malah ada yang lebih lancang dengan menulis, " semuanya salah Anwar."

Tanpa mengambil kira sumbangannya selama ini terhadap MAS, perasaan isteri dan ahli keluarganya serta fakta yang terbentang hanyalah pesawat itu dilencongkan ke tempat lain dan alat komunikasi dimatikan secara sengaja oleh seseorang yang pakar mengenai pesawat, hakikatnya semua itu belum lagi mutlak menunjukkan semuanya dilakukan oleh Zaharie.

Boleh jadi juga ia dilakukan oleh orang lain atau mungkin juga Zaharie dipaksa dalam keadaan yang mengancam nyawanya untuk berbuat demikian. Sehingga apa yang sebenarnya berlaku tidak dapat dipastikan kebenarannya, segala-galanya masih lagi bersifat andaian dan telahan semata-mata.

Berdasarkan logik akal juga, tiada sebab yang kukuh untuk mengesahkan bahawa Zaharie selaku juruterbang sanggup melakukan sabotaj terhadap pesawat dan mengancam 239 nyawa yang lain semata-mata kecawa kerana hukuman yang dijatuhkan keatas Anwar kerana beliau bukanlah ahli keluarga atau kenalan yang terlalu rapat dengan Ketua Pembangkang itu.

Simpati dan kecewanya terhadap hukuman yang diterima oleh Anwar sebenarnya turut dirasai oleh ratusan ribu atau mungkin jutaan insan yang lain tetapi rata-ratanya mereka menerima hakikat bahawa Anwar tidak dipenjara serta-merta, malah masih ada peluang lagi untuk membebaskan dirinya di Mahkamah Persekutuan.

Oleh yang demikian, jika kerajaan bersikap rasional dan terbuka, tiada apa maklumat atau perkembangan yang perlu disembunyikan sehingga perlu mengadakan taklimat tertutup yang hanya dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja. Jika sebelum ini, usul mengenai kehilangan pesawat ini juga turut ditolak untuk dibahaskan oleh Parlimen dengan alasan usaha mencari dah mengesan pesawat itu sedang dijalankan, tetapi setelah berlarutan selama 11 hari tanpa sebarang perkembangan positif dan semua pihak seharusnya digalakkan untuk bersatu hati, tindakan sepupu Najib mengadakan taklimat tertutup ini tidak boleh diterima sama-sekali.

Selain menunjukkan kerajaan tidak telus dan ingin menyembunyikan sesuatu, perkembangan ini juga memperlihatkan kerajaan mempunyai kecenderungan untuk mempolitikkan insiden ini.

Apakah dalam malapetaka negara yang menjadi sorotan dunia ini, kerajaan masih sempat lagi memikirkan soal politik kepartian mengenainya?

Setelah keahlian parti politik Zaharie dijadikan isu dan kemudian kaitannya dengan Anwar Ibrahim dilorongkan kemungkinan insiden ini berlaku, kini sekali lagi ia cuba dipolitikkan dengan mewujudkan kasta untuk menafikan sebahagian Ahli Parlimen yang turut mewakili rakyat daripada mendapat maklumat yang telus dan benar daripada kerajaan sendiri.

Dalam masa yang sama, tindakan mengadakan taklimat tertutup ini juga hanya selang sehari selepas Menteri Dalam Megeri, Zahid Hamidi cuba meredakan keadaan dengan meminta soal keahlian parti dan anutan politik juruterbang itu tidak dijadikan isu oleh sesiapa jua pun.

Keanggotaan seseorang dalam mana-mana parti tidak menentukan baik jahatnya seseorang itu, juga tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mendorong seseorang melakukan sesuatu yang diluar pertimbangan, lebih-lebih jika seseorang itu mempunyai pendidikan yang baik, kerjaya yang terjamin, keluarga yang bahagia dan latar belakang yang meyakinkan.

Apa pun alasan kerajaan mengadakan taklimat yang hanya terhad kepada Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja, ia adalah sesuatu yang tidak wajar dan menambah-burukkan lagi persepsi rakyat terhadap kerajaan. Jika kerajaan ingin memberi taklimat mengenai insiden MH370 ini, ia seharusnya dibentangkan di dalam Parlimen supaya semua pihak tahu, faham dan akhirnya bersetuju bahawa ia adalah malapetaka yang perlu ditangani secara bersama tanpa mengira mana-mana anutan politk sekali pun.

Tetapi sekiranya tidak mahu dibentangkan di Parlimen atas sebab-sebab keselamatan misalnya, taklimat seharusnya terhad kepada anggota kabinet sahaja.

Dengan menyembunyikan fakta sebenar dan cuba bersikap sembunyi-sembunyi, ia lebih membuatkan rakyat berpecah-belay dan tidak bersatu hati.

Kepada kerajaan, khususnya Hishammuddin, ingatlah bahawa insiden ini adalah malapetaka kepada negara dan negara ini pula bukanlah milik UMNO dan BN sahaja.

Tiada ulasan: