Khamis, 13 Mac 2014

Jerebu: 131 sekolah di daerah Klang ditutup esok

HARAKAHDAILY 


SHAH ALAM: Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat, hari ini.
  
Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi berkata arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang berdasarkan pemantauan paras jerebu di negeri itu.
  
Beliau berkata tempoh penutupan sekolah tersebut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU di kawasan itu dan pembukaan semula sekolah di daerah itu akan diumumkan kelak.
  
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU pada pukul 6 petang tadi menunjukkan Pelabuhan Klang merekodkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat.
  
Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengingatkan semua pengetua dan guru besar sekolah untuk menutup sesi persekolahan serta-merta, sekiranya berada di dalam kawasan bacaan IPU melebihi 200.
  
Kementerian tersebut dalam kenyataan di sini, hari ini berkata ia selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 17 tahun 2013 yang perlu dipatuhi sekiranya IPU melebihi bacaan tersebut.
  
Pengetua dan guru sekolah juga diminta memaklumkan penutupan sekolah masing-masing kepada pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.
  
"Bagi kawasan pada bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi dengan fenomena tersebut," katanya.
  
Sekolah yang berada pada kawasan bacaan IPU melebihi 150, hendaklah menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah, katanya.
  
Menurutnya, semua Pengarah Pendidikan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada semua sekolah di negeri masing-masing berhubung perkara tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: