Selasa, 4 Mac 2014

Isu ‘Allah’ masuk peringkat genting di masa penganut Kristian bersiap sedia musim suci

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Tan Sri Murphy Pakiam menyeru penganut Katolik untuk bersiap sedia memasuki musim suci Lent dan berdoa terutamanya pada Rabu Ash supaya Mahkamah Persekutuan akan memberikan gereja Katolik kebenaran untuk merayu. – Gambar fail.Tan Sri Murphy Pakiam menyeru penganut Katolik untuk bersiap sedia memasuki musim suci Lent dan berdoa terutamanya pada Rabu Ash supaya Mahkamah Persekutuan akan memberikan gereja Katolik kebenaran untuk merayu. – Gambar fail.
Mungkin segalanya akan berakhir untuk gereja Katolik yang terlibat dengan kes mahkamah mencabar larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah "Allah" di dalam ruangan bahasa Melayu penerbitan mingguannya, Herald (gambar).

Mahkamah Persekutuan akan mendengar sama ada permohonan gereja mendapatkan kebenaran untuk merayu akan diberikan, lima bulan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" di dalam Herald.

Sekiranya permohonan itu ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 14 tahun lalu dianggap betul daripada segi fakta dan undang-undang, dan pihak gereja dilarang membuat rayuan lagi.

Di masa penganut Kristian bersiap sedia menyambut ketibaan musim Lent pada Rabu ini, hak mengamalkan agama mereka akan berdepan ujian minggu ini dengan tiga kes berkenaan kalimah Allah didengarkan di mahkamah. Tetapi semuanya dijangka tertumpu pada isu Herald.

Uskup Agung Emeritus, Tan Sri Murphy Pakiam (gambar) menyeru penganut Katolik untuk bersiap sedia memasuki musim suci Lent, yang bermula dengan perayaan Rabu Ash esok, dengan penuh tafakur.

"Marilah kita berdoa terutamanya pada Rabu Ash supaya Mahkamah Persekutuan akan memberikan gereja Katolik kebenaran untuk merayu," katanya.

Beliau berkata, Lent merupakan satu musim yang suci bagi gereja Katolik di mana penganutnya akan mengenang peristiwa penyeksaan dan pengorbanan Jesus.

Penganut Katolik digalakkan sembahyang, puasa dan bersedekah sepanjang 40 hari musim Lent.
Pakiam menyeru masyarakat Katolik untuk berdoa, melakukan penebusan dosa dan berpuasa pada Rabu ini demi memenangi kes yang dibawa Herald.

Benjamin Dawson, salah seorang anggota pasukan peguam gereja, berkata Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 perlu dipenuhi supaya Mahkamah Persekutuan boleh mendengar rayuan.

Menurut seksyen tersebut, pemohon (gereja) mesti mengemukakan soalan penting yang akan dihujahkan secara lanjut dalam menunjukkan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi kebaikan kepada awam.

Bahagian kedua seksyen tersebut menyatakan persoalan perundangan boleh dikemukakan sekiranya apa-apa keputusan memberi kesan kepada hak Perlembagaan seseorang dan kesahihan mana-mana undang-undang bertulis.

"Kami merangka beberapa soalan bagi memenuhi kedua-dua bahagian Seksyen 96," kata Dawson yang bertungkus lumus bersama rakan peguam lain menjalankan kajian mendalam tentang kes itu.

Peguam yang pernah muncul dalam kes melibatkan bekas penganut Islam, Lina Joy, 10 tahun lalu,  berkata melihat kepada kehebatan debat di lapangan awam sejak tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sewajarnya memberikan kebenaran kepada pihak gereja untuk membuat rayuan.

Dawson berkata soalan yang akan dikemukakan pada dasarnya menyentuh kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara, beragama dan pendidikan agama bukan Islam, yang terikat dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Soalan kami juga akan menyentuh sama ada seseorang menteri atau mana-mana undang-undang bertulis boleh mengawal selia hal ehwal agama bukan Islam," katanya.

Dawson berkata, hakim Mahkamah Persekutuan mungkin tidak akan menerima kesemua soalan yang disediakan, tetapi pasukan peguamnya berharap beberapa soalan utama akan dibenarkan.

Pada 12 November, pihak gereja mengemukakan 26 soalan tentang Perlembagaan, undang-undang tadbir dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri mengharamkan sesuatu perkataan keagamaan.

Dua lagi soalan difailkan minggu lepas.

Putrajaya, Menteri Dalam Negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan enam majlis agama negeri membantah permohonan gereja untuk kebenaran merayu.

Setakat ini, Macma dan tiga majlis agama negeri dalam afidavit mereka berkata menteri sudah berulangkali mengingatkan gereja di antara 1986 dan 2009 bahawa penggunaan "Allah" sebagai ganti "Tuhan" di dalam ruangan bahasa Melayu akhbar Herald akan melahirkan kebencian di kalangan rakyat Malaysia.

Mereka berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan fakta, sedangkan pihak gereja gagal memberikan bukti yang boleh dipercayai mengenai penggunaan perkataan itu.

Majlis agama dari Melaka, Kedah dan Johor juga berkata Mahkamah Persekutuan tidak perlu membuang masanya untuk mendengar kebenaran merayu dan menjawab soalan yang dikemukakan gereja.

Dawson berkata Pejabat Peguam Negara yang mewakili Putrajaya dan menteri masih belum mengemukakan alasan bantahan mereka terhadap permohonan merayu.

Bagaimanapun, peguam Edmund Bon menganggap bantahan Putrajaya sebagai tidak masuk akal kerana soalan yang diutarakan gereja mempunyai kepentingan awam yang perlu diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara ini.

"Putrajaya seharusnya akur dengan permohonan kebenaran merayu dan memberi peluang kepada Mahkamah Persekutuan mendengar hujah berkenaan hak asasi rakyat," katanya, malah menyarankan Pejabat Peguam Negara juga mengemukakan soalan sekiranya dipersetujui gereja.

Bon berkata mahkamah boleh menyediakan soalan untuk menutup apa-apa kesamaran berkenaan isu "Allah"

"Mahkamah Persekutuan perlu membenarkan sebanyak mungkin soalan, dan kemudian meneruskan mendengar rayuan, memandangkan ia akan dijadikan keputusan 'landmark' untuk dijadikan rujukan masa depan," kata beliau.

Permohonan gereja itu dijangka akan didengari tujuh hakim, kerana seorang penolong pendaftar kanan mahkamah meminta dua lagi set salinan dokumen daripada pihak gereja.

Peguam S Selvarajah berkata beliau hanya boleh meneka adanya bilangan hakim yang lebih besar untuk permohonan itu, kerana sebelum ini beliau hanya memfailkan enam set dokumen apabila berurusan dengan Mahkamah Persekutuan, iaitu lima untuk panel hakim dan satu sebagai rekod pendaftar.

Selvarajah berkata pegawai mahkamah meminta supaya lapan set dokumen berkenaan gereja dibekalkan.

Pada 14 Oktober tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan Katolik, Herald, daripada menggunakan kalimah "Allah".

Ini sejajar dengan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penerbitan bukan Islam daripada menggunakan empat perkataan, iaitu "Allah", "Kaabah", "Solat" dan "Baitullah".

Dalam penghakimannya, Apandi berkata larangan itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan mencegah sebarang kekeliruan di kalangan umat Islam.

Beliau juga memutuskan bahawa sekiranya penganut Kristian dibenarkan menggunakan perkataan tersebut, akan mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Menurut mahkamah lagi, larangan itu adalah munasabah kerana "Allah" bukan sebahagian kepercayaan dan amalan Kristian.

Keputusan itu mengundang bantahan kumpulan Kristian dan bukan Islam lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada 2009, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan Menteri Dalam Negeri mengenai larangan penggunaan perkataan itu dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan mengenepikan arahan menteri, dan memutuskan bahawa ia melanggar hak perlembagaan penerbit.

Sementara itu, kes yang difailkan oleh Sidang Injil Borneo (SIB) mencabar Menteri Dalam Negeri dan kerajaan mengenai hak menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan Kristian, akan didengarkan di mahkamah Jalan Duta hari ini.

Permohonan membenarkan semakan kehakiman difailkan pada Disember 2007, di mana SIB dan presidennya Datuk Jerry Dusing mencabar tindakan merampas buku agama yang dibawanya dari Indonesia.

Walaupun peguam di pihak kerajaan akan berhujah bahawa buku itu sudah pun dipulangkan, permohonan SIB akan menjadi akademik.

SIB berpendapat persoalan perundangan adalah amat penting.

Ini kerana antara keputusan yang diminta SIB adalah bahawa ahli gereja tersebut berhak daripada segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan "Allah" dalam semua penerbitan dan bahan agama.

SIB juga mahu satu keputusan mengatakan ahlinya, yang kebanyakannya bertutur Melayu, berhak memiliki, menyimpan, mengguna dan mengimport apa-apa bahan tanpa mengira samada perkataan "Allah" digunakan di dalamnya.

Khamis lalu, kes melibatkan seorang kerani Sarawak, yang sedang mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat berkenaan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah di muka depannya, memasuki peringkat akhir pengurusan kes.

Jill Ireland Lawrence Bill berjaya mendapatkan kebenaran semakan kehakiman pada 4 Mei, 2009, tetapi tarikh untuk semakan kehakiman belum ditetapkan

Tiada ulasan: