Selasa, 18 Mac 2014

Hakim lawat tempat Beng Hock ditemui mati

MALAYSIAKINI




 
 
 
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mengendalikan rayuan berhubung keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini melawat tempat setiausaha politik exco kerajaan Selangor itu dikatakan terjatuh di Plaza Masalam di Shah Alam.

Tempat itu adalah bekas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini menempatkan sebuah institusi pengajian tinggi swasta antarabangsa yang terletak di tingkat 14.

Datuk Mohammad Ariff Md Yusof, yang mempengerusikan panel itu bersama dua lagi hakim yang menganggotai panel tersebut, Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer tiba di perkarangan bangunan berkenaan pada pukul 10.30 pagi.

Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas, peguam Gobind Singh Deo dan keluarga Beng Hock yang turut membawa bingkai berisi gambar mendiang.

Mereka meluangkan masa kira-kira 40 minit di tingkat 14 sebelum turun ke tingkat 5 yang merupakan lokasi penemuan mayat Beng Hock.

Tiga hakim berkenaan kemudian dilihat meninggalkan Plaza Masalam pada pukul 11.30 pagi.

Gobind ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata lawatan berkenaan dibuat bagi membolehkan ketiga-tiga hakim itu melihat sendiri tingkap yang dikatakan tempat Beng Hock terjatuh dari bangunan berkenaan serta tempat di mana mayat pembantu politik DAP itu ditemui.

"Para hakim telah lihat apa yang mereka perlu lihat. Pada 28 Mac ini kita akan teruskan dengan hujahan berdasarkan apa yang dilihat hari ini," katanya.

Pada 23 Jan lepas, Hakim Mohammad Arif memerintahkan pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan melawat tempat itu bagi memeriksa tingkap yang dikatakan tempat Beng Hock terjatuh daripada bangunan berkenaan.

Inilah julung kalinya para hakim Mahkamah Rayuan melawat tempat kejadian dalam inkues.

Dalam inkues berkenaan, koroner Azmil Muntapha Abas melawat tempat terbabit dua kali dan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan menyiasat punca kematian Beng Hock, melawatnya sekali.

Pada 5 Jan 2010, koroner berkenaan membuat keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan akibat bunuh diri atau dibunuh dan tidak melibatkan pihak ketiga.

Pada 21 Julai tahun berikutnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (kini bersara), memutuskan bahawa kematian Beng Hock adalah akibat bunuh diri.

Selepas itu, abang Beng Hock, Teoh Meng Kee memfailkan permohonan mengikut Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Tinggi pada 30 Sept 2011 agar keputusan koroner itu disemak semula.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan semula Meng Kee itu pada 1 Dis 2011.

Pada 2 Feb tahun lepas, Meng Kee mendapat kelulusan Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. - Bernama
 

Tiada ulasan: