Selasa, 25 Mac 2014

Berita Sedih Buat Malaysia

shahbudindotcom



Kira-kira 10 malam tadi, setelah 17 hari pencarian, baru disahkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak bahawa pesawat MH370 dikesan oleh satelit untuk kali terakhir di selatan Lautan Hindi, berhampiran Perth, Australia dan dipercayai terhempas serta semua penumpangnya tiada yang selamat.

Dalam pengumuman itu, Najib juga memberitahu waris dan ahli keluarga mangsa sudah pun diberitahu mengenainya. Dilaporkan juga bahawa waris-waris mangsa akan diterbangkan ke Perth dalam tempoh terdekat ini.

Mungkin secara kebetulan, sebaik berakhir pilihanraya kecil DUN Kajang, penantian MH370 juga menemui titik akhirnya.

Sebagaimana waris mangsa bersedih dan mungkin sukar menerima berita ini, rakyat Malaysia dan seluruh dunia juga pastinya berkongsi perasaan yang sama.

Sehingga pencarian diteruskan kepada pesawat dan mayat yang terkorban, yang penting juga selepas ini ialah mencari kotak hitam pesawat itu untuk merungkai apakah misteri sebenarnya MH370 yang sepatutnya menuju ke Beijing tersasar hingga ke selatan Lautan Hindi.

Sehingga kebenaran diketahui juga, semoga tiada lagi tuduhan yang bukan-bukan dilemparkan kepada juruterbangnya, Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid atas kejadian ini, apatah lagi mengaitkan insiden ini dengan masalah politik yang berlaku dalam negara.

Semoga Tuhan akan menunjukkan kebenaran, Al Fatihah dan takziah kepada keluarga mangsa.

Tiada ulasan: