KUCHING: Anak saudara Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad disahkan antara 227 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang awal hari ini.
Roslan ketika dihubungi Bernama berkata perkara itu dimaklumkan oleh kakaknya Rohani yang tinggal di Shah Alam, Selangor.
"Saya diberitahu oleh kakak saya bahawa anak saudara saya bernama Suhaili Mustafa antara penumpang dalam pesawat MAS yang hilang itu. Mohon doakan semoga semuanya selamat," katanya.
Menurut Roslan beliau akan Kuala Lumpur petang ini bagi menemani kakaknya yang juga ibu tunggal selepas kematian suami.
"Saya ambil cuti kecemasan dan balik ke Kuala Lumpur petang ini untuk memberi sokongan moral kepada kakak dan bantu apa yang patut," katanya sambil menambah kakaknya kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu perkembangan terkini.
Menurutnya sepanjang ketiadaan beliau tugas akan dipangku oleh Timbalannya Supt Fauzilan Abdul Aziz.
Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi tadi ketika berada di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan