Sabtu, 8 Mac 2014

Akhirnya Anwar Dihalang Daripada Menjadi MB Selangor

shahbudindotcom.


Sebagaimana yang diduga oleh kebanyakan orang, Mahkamah Rayuan akhirnya menerima rayuan pihak pendakwa dan mendapati Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Beliau dikemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan mahkamah juga menerima rayuan peguambela Anwar untuk menangguhkan sementara hukuman sehingga proses seterusnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan pula.

Selain menerima rayuan untuk menangguhkan hukuman, Mahkamah Rayuan juga bermurah hati dengan membenarkan jaminan sebanyak RM10 ribu boleh dibayar sehingga jam 11 pagi Isnin, 10 Mac. Ini bermakna keputusan mahkamah yang bersidang sehingga jam 7 malam hari ini mengelakkan Anwar daripada dipenjara dan boleh pulang ke rumah serta menjalankan aktiviti politiknya seperti biasa.

Apa yang tidak boleh dilakukannya dengan keputusan mahkamah ini hanyalah daripada menjadi calon pilihanraya kecil Kajang yang penamaan calonnya pada 11 Mac ini. Dengan tidak boleh menjadi calon di Kajang, bermakna Anwar juga tidak boleh menjadi Menteri Besar Selangor sebagaimana yang dirancangnya.

Khalid Ibrahim nampaknya akan terus kekal sebagai Menteri Besar dan Zaid Ibrahim yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan Khalid juga secara automatik tidak perlu lagi meneruskan hasratnya. Mahkamah Rayuan telah membantu Zaid menjimatkan wangnya kali ini.

Bagaimanapun, oleh kerana sabitan kesalahan ini ditangguhkan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang tidak diketahui bila tarikhnya, mungkin dua tahun atau tiga tahun daripada sekarang, keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak memberi apa-apa kesan kepada kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang.

Anwar akan terus menjadi Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa sebarang gangguan, malah sebagaimana yang dijadualkan juga, beliau akan membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong pada Selasa, 11 Mac ini tanpa sebarang gangguan atau berkejar dengan masa.

Beliau hanya tidak boleh mengemukakan kertas pencalonannya sebagai calon PKR di Kajang pada Selasa ini dan seterusnya langkah KajangMove yang dirancang untuk menobatkannya sebagai Menteri Besar Selangor telah pun melanggar tembok. Tembok itu tidak lain dibina melalui keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang tentunya juga dengan penuh kesedaran dan pengetahuan pemegang kuasa di Putrajaya.

Sebagaimana yang disebutkan dalam posting terdahulu, inilah sebenarnya muslihat mengapa tarikh penamaan calon di Kajang ini begitu lewat ditetapkan tarikhnya oleh SPR.

Dengan ini, terbuktilah apa yang sebenarnya ditakuti ialah jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. UMNO dan BN sebenarnya menyedari dengan kedudukan dan jawatan sebagai Menteri Besar akan melancarkan lagi perjalanan Anwar dan PR menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang nanti.

Mahathir tidak menyembunyikan kebimbangannya mengenai langkah Anwar itu. Beliau menyifatkan dengan menjadi Menteri Besar dan berjaya membuktikan kepimpinannya di negeri paling kaya itu, ia akan menjadi tangga yang bakal memudahkan lagi usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menguasai Putrajaya.

Najib pula, walaupun tidak banyak mengomel mengenai langkah Anwar ini, tetapi kebimbangannya dapat difahami berdasarkan sambutan rakyat terhadap perkara ini. Lebih-lebih lagi, mereka dalam UMNO amat faham kebijaksanaan Anwar membina pengaruh dan meningkatkan sokongan jika mempunyai jawatan dalam kerajaan. Lihat saja bagaimana sejarahnya dalam UMNO, dengan jawatan Menteri Kewangannya dulu beliau mampu merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993 meskipun ketika itu Tun Ghafar dilindungi oleh kouta pencalonan, undi bonus serta kelebihan sebagai penyandang jawatan.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang dimulai dengan tarikh penamaan calon dilewatkan, penetapan tarikh bicara yang tergesa-gesa dengan meminta peguambela Karpal Singh meluangkan masa antara 7 hingga 10 Mac, kesediaan mahkamah bersidang sehingga waktu maghrib dan kemudian bersikap baik hati dengan membenarkan wang jaminan dibayar sehingga jam 11 pagi hari Isnin, jelas dan tidak lain adalah semata-mata untuk menghalang Anwar daripada menjadi ADUN Kajang dan seterusnya Menteri Besar Selangor.

Hanya itu matlamat dan tujuannya. Tiada yang lain. Noktah. Menang atau kalah di Kajang tidak lagi penting bagi Najib dan BN. Berapa undi yang bakal diperolehi oleh calon BN, Chew Mei Fun turut tidak penting. Siapa calon PKR yang bakal menggantikan Anwar juga tidak lagi mustahak kepada Najib dan BN. Dengan dapat menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar, Najib dan BN sekurang-kurangnya dapat bernafas lega dalam tempoh tiga atau empat tahun sebelum tibanya PRU 14.

Itulah yang penting dari segala yang penting dan malam ini Najib mungkin menikmati tidur malamnya yang paling lena.

Dengan keputusan ini juga, Najib mempunyai jalan untuk memulihkan semula hubungannya dengan Mahathir dan Daim yang semakin kerap mengkritiknya sejak kebelakangan ini. Dan sekiranya dengan langkah menghukum Anwar ini tidak juga berupaya memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya, malah mungkin membuatkan rakyat lebih kuat bangkit untuk melakukan perubahan, sekurang-kurangnya tempoh yang masih panjang sebelum PRU 14 sambil Anwar dinafikan daripada berpaut dengan kuasa, boleh digunakan untuk memikir helah serta perancangan lain pula.

Dalam jangka pendek dan sederhana, Najib dan BN memang terlihat selamat dengan keputusan mahkamah ini tetapi ia bukanlah jaminan mutlak untuk membolehkan BN berkuasa selama-lamanya. Manusia merancang, Tuhan pun merancang tetapi perancangan Tuhanlah yang akhirnya menang.

Tiada ulasan: