Sabtu, 1 Mac 2014

Ada kereta cuba langgar saya, kata Sanjeevan

MALAYSIAKINI





Selepas pulih daripada pengalaman bergelut dengan nyawanya selepas cedera ditembak,  semalam aktivis anti-jenayah R Sri Sanjeevan mengadu diekori sebuah kereta selepas memeriksa sebuah pusat maksiat di Negeri Sembilan .


Sanjeevan (kiri dalam gambar) berkata beliau pulang ke Bahau
petang semalam dari rumahnya selepas mendapat maklumat bahawa ada pelajar mengunjungi pusat maksiat di sana.

"Saya pergi ke tempat itu kira-kira pukul 4 petang, dan setibanya di sana, saya ternampak sebuah kereta Perodua Kancil sedang memerhatikan kami.

"Kami memandu dan melihat kereta itu mengekori kami dan pemandunya menunjukkan jari tengahnya kepada saya.

"Pemandu saya kemudian memecut tetapi kereta itu masih mengekori kami selama kira-kira 20 minit di sekitar bandar," katanya lagi.

Di satu selekoh, tambah beliau, pemandunya meninggalkannya di tepi jalan raya tanpa dapat dilihat oleh suspek, dan beliau nampak kereta Kancil itu masih mengekori keretanya.

"Pemandu saya mendakwa Kancil cuba melanggar kereta saya," kata aktivis anti-jenayah itu.

Bagaimanapun, katanya, pemandunya sempat memecut dari situ.

Sanjeevan, yang merupakan pengerusi MyWatch berkata, beliau cuba menghubungi Balai Polis Bahau dan bilik operasi polis serta ketua polis daerah beberapa kali untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, tidak ada jawapan

Beliau kini masih tidak pasti sama ada hendak membuat
laporan polis berhubung kejadian itu walaupun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkannya supaya berbuat demikian.

Sanjeevan ditembak di dada di Jempol, Negeri Sembilan Julai lalu selepas menerima ancaman bunuh berkaitan usaha-usahanya mencegah jenayah itu.

Beliau terlantar di hospital selama beberapa untuk sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.

Tiada ulasan: