Selasa, 25 Mac 2014

Abdul Khalid: Kedudukan Azmin dalam PKNS tergantung sehingga siasatan selesai

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM,: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kedudukan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tergantung sehingga siasatan kes terhadap Pengurus Besar dan Setiausaha Kerja syarikat itu selesai.

Abdul Khalid berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak pernah membincang atau memutuskan isu kedudukan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

Katanya, kuasa membincangkan perkara berkenaan terletak di tangan Exco negeri, namun tidak ada sebarang keputusan dibuat ketika mesyuarat itu berlangsung.

IMG_3376“Jika tiada keputusan dibuat, maka secara automatiknya kedudukan Azmin masih kekal, namun tergantung sehingga siasatan berhubung perkara itu selesai sepenuhnya.

“Mesyuarat MMKN tidak menyentuh langsung soal kedudukan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah, maka kedudukan beliau kekal. Namun, surat pemakluman daripada Pengurus Besar PKNS sebelum ini bahawa Azmin bukan lagi Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu menimbulkan tanda tanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada ahli panel Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Antara ahli panel yang terbabit adalah Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim; ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak.-NFN-

Tiada ulasan: