Ahad, 1 September 2013

SPRM Sarawak catat 29 kes tangkapan

 
Kes tersebut merangkumi penjualan diesel bersubsidi, memberi dan menerima rasuah serta pemalsuan dokumen atau tuntutan. 




KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak telah mencatatkan sebanyak 29 kes tangkapan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 117 tangkapan pada tahun 2012.

Pengarah SPRM Sarawak Dato Bahri Mohd Zin berkata, kes tersebut merangkumi penjualan diesel bersubsidi, memberi dan menerima rasuah serta pemalsuan dokumen atau tuntutan.

“Bermula tahun 2012, hasil tangkapan dan denda yang diperoleh oleh pihak SPRM lebih RM5 juta bagi kesalahan tersebut.

“Bagi kes penjualan diesel bersubsidi pula, hasil rampasan dan denda bernilai RM353,000,” katanya, ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, semalam.

Bahri menambah, kes tangkapan untuk penjualan minyak bersubsidi kebanyakannya berlaku di bahagian Kuching dan Miri.

“Insiden ini berlaku di kawasan yang jauh dari pusat bandar. Bagaimanapun, kebanyakan kes dapat diselesaikan oleh pihak kami.

Tangkapan tersebut merangkumi kes yang dilaporkan kepada pihak SPRM tetapi paling banyak adalah kes disiasat kita sendiri.

Siasatan proaktif

“Kita telah menukar strategi daripada siasatan reaktif kepada siasatan proaktif. Ini bermakna kita turun ke kawasan lapangan dengan menggunakan kekuatan kumpulan risikan dan bergerak ke seluruh negeri ini,” jelasnya.

Dari segi rasuah pula, beliau berkata, siasatan di negeri Sarawak berbeza dengan negeri lain kerana pihaknya akan menangkap pemberi rasuah berbanding penerima rasuah.

“Tangkapan ke atas pemberi rasuah paling banyak dilakukan oleh pihak SPRM. Contohnya, pegawai kerajaan melaporkan kepada kita mengenai pihak yang ingin memberi rasuah kepadanya. Jadi, kita membuat perancangan dan menangkap pemberi rasuah.

Justeru, agensi penyumbang kepada penangkapan pemberi rasuah adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan jabatan lain,” tambahnya.

Katanya lagi, hukuman lima kali ganda nilai suapan akan dikenakan kepada pemberi dan penerima rasuah jika didapati bersalah dan penjara tidak lebih daripada 10 tahun.

“Dalam pada itu, denda sampai RM5 juta akan dikenakan kepada pesalah yang disiasat di bawah Akta Anti Wang Haram (AMLA). Memang terdapat kes disiasat di bawah AMLA di Sarawak yang lebih kepada pemindahan wang atau aset tetapi kita tidak boleh dedahkan perkara ini,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini kebanyakan kes rasuah masih disiasat berikutan hanya seorang sahaja hakim yang mengendalikan kes tersebut di negeri Sarawak dan terpaksa mengikut giliran.

Dalam pada itu, Bahri mengucapkan penghargaan kepada setiap jabatan kerajaan yang memberi kerjasama dalam usaha memerangi rasuah di negeri ini seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berharap lebih banyak pihak tampil untuk membuat laporan sekiranya mengetahui kes rasuah dan identiti pengadu akan dilindungi sepenuhnya.

Tiada ulasan: