Sasterawan negara itu berkata beliau berada di rumah semalaman semalam dan tiada siapa pun termasuk anggota polis datang ke rumahnya semalam.
Tegasnya, dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa beliau menyorok adalah "cakap-cakap angin untuk menyebar citra buruk" terhadap dirinya.
"Saya ada di rumah semalaman. Tiada siapapun yang datang. Ya, saya ada di rumah terus-terusan. Tiada (polis) yang rasmi (datang).
"(Dakwaan) ini khabar angin untuk menyebar citra buruk kepada saya,"kata tokoh sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Beliau juga bertegas untuk tidak menyerah diri sekiranya polis tidak mengeluarkan sebarang perintah rasmi.
"Saya fikir IGP bercakap depan wartawan. Tidak ada surat rasmi, minta (secara) rasmi untuk (saya) menyerah diri.
"Saya tidak bersedia untuk menyerah diri, kalau cakap-cakap luar sahaja. Saya fikir (jika) dipanggil, mesti ada hitam putihnya. Saya tidak tertakluk kepada cakap di luar-luar sahaja," katanya.
Sedia bantu siasatan
A Samad yang mesra dipanggil Pak Samad mengulas kenyataan Khalid yang meminta beliau menyerah diri membantu siasatan berhubung tindakan individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya berhampiran Dataran Merdeka pada Jumaat malam lalu.
Khalid mendakwa A Samad “menyorok” ketika polis menjalankan operasi mengesan sasterawan itu pada malam tadi.
Dua orang aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim ditahan pada malam tadi dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 atas perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya malam sambutan ambang kemerdekaan itu.
Kedua-duanya dibebaskan pagi ini.
A Samad dilaporkan sedang berucap ketika bendera kontroversi tersebut dikibarkan dalam kejadian berkenaan.
Ekoran itu NGO Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dilapor meminta kerajaan mempertimbangkan supaya menarik kembali gelaran tokoh Sasterawan Negara yang diberikan kepada A Samad.
Manakala pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula berkata tokoh itu sepatutnya sensitif dengan perjuangan orang terdahulu daripada beliau yang berusaha memperoleh kemerdekaan untuk negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan