Isnin, 2 September 2013

Mahkamah tetapkan Khamis ini keputusan petisyen DUN Gaal

 
KOTA BHARU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menetapkan Khamis ini untuk membuat keputusan terhadap petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu bagi mendengar hujahan bertulis terhadap bantahan awal kedua yang difailkan PAS terhadap petisyen itu.

Hari ini sepatutnya ditetapkan sebagai hari perbicaraan petisyen DUN berkenaan namun PAS kemudiannya telah mengemukakan bantahan awal buat kali yang kedua. Zamani kemudiannya membenarkan responden pertama iaitu Anggota DUN Gaal, Tuan Mazlan Tuan Mat daripada PAS memfailkan hujahan bertulis terhadap bantahan itu pada hari ini.

Esok, pempetisyen iaitu calon BN, Redzuan Stapha, responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Gaal dan responden ketiga iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya perlu membalas hujahan bertulis itu.

Peguam mewakili PAS, Hisham Fauzi berkata mereka memfailkan bantahan awal kedua itu kerana timbul beberapa isu baru.

Beliau berkata antara isu baharu itu adalah kecacatan berkaitan pelantikan peguam dan penyerahan petisyen yang tidak mengikut prosedur.

BN diwakili peguam Mohd Ilias Mohd Noor manakala responden kedua dan ketiga oleh Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Tuan Mazlan menewaskan Redzuan dengan majoriti 302 undi. - BERNAMA

Tiada ulasan: