Selasa, 10 September 2013

Ketua Polis Negara: Tiada siasatan semula kes Altantuya

OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Tiada siasatan semula kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.Tiada siasatan semula kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan menjalankan siasatan semula kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu walaupun mahkamah sudah membebaskan dua suspek kes itu.

“Saya rasa tidak perlu, Kenapa kita perlu jalankan siasatan baru?”
 “Semua orang perlu menghormati keputusan mahkamah,” kata Ketua Polis Negara itu pada satu sidang media hari ini.

 Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia itu.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan Azilah dan Sirul.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan, Shah Alam pada 2006.

Mereka pada ketika itu bertugas di UTK Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan mahkamah itu turut mendapat perhatian dan menjadi topik bagi warga siber di Internet apabila rata-ratanya meluahkan kecurigaan.

Antara persoalan paling kerap diutarakan ialah bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?

Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?

Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang pengguna Internet, Isana berkata: “Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities’ hanya berlaku dalam 1Malaysia.”

Tiada ulasan: