Rabu, 27 Jun 2012

Zahid pura2, Terasasi wujud dalam kes Scorpene – Tian

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, dokumen yang diperoleh daripada Mahkamah Perancis menunjukkan wujudnya hubungan antara syarikat pembuat kapal Perancis, DCNS dan Terasasi (Hong Kong) Ltd dalam urusan pembelian Scorpene Malaysia.



Katanya, walaupun secara teknikal tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dengan Terasasi, tetapi syarikat ini terlibat dalam rundingan pembelian kapal selam.

“Kementerian Pertahanan berpura-pura tidak tahu menahu mengenai Terasasi. Ini satu kenyataan tidak bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Batu itu lagi.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi semalam bahawa tiada sebarang maklumat mengenai penjualan dokumen oleh Terasasi kepada syarikat Thint Asia (Thales International).

Menurut Tian, daripada hasil carian pendaftaran syarikat, beliau memperoleh dokumen yang menunjukkan Terasasi masih beroperasi sehingga Jun 2011.

“Syarikat ini masih berdaftar di Hong Kong dan nilai sahamnya ialah HKD100,000. Dua nama pemilik yang disenaraikan iaitu ‘Bin Abdullah Abdul Razak’ dan ‘Bin Malim Baginda Abdullah’.

“Ini menunjukkan syarikat ini wujud dan dimiliki oleh Razak Baginda. Kementerian Pertahanan tidak boleh mengatakan tidak tahu kewujudan syarikat ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, Terasasi tidak menjalankan aktiviti perniagaan sebaliknya didaftarkan sebagai saluran uruniaga Scorpene.

“Syarikat ini digunakan untuk menerima duit dan jumlah duit yang disalurkan kepada Terasasi adalah sebanyak USD30 juta,” katanya.

Tiada ulasan: