Jumaat, 8 Jun 2012

Unisel Umum Pembekuan PTPTN Ditarik Balik





SHAH ALAM  : Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) secara rasminya ditarik balik, umum Naib Canselor Unisel, Prof. Dr Anuar Ahmad.

Menurut Dr Anuar, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Menteri Pengajian Tinggi awal pagi tadi berkenaan penarikan pembekuan pinjaman tersebut.

“Dengan penarikan itu, pelajar-pelajar baru kini boleh mula memohon kembali pinjaman PTPTN bermula malam ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada keputusan yang menggembirakan ini termasuk pihak kementerian dan Kerajaan Negeri,” jelas beliau dalam satu sidang media di Unisel sebentar tadi.

Mengelak untuk mengulas lanjut alasan yang dikemukakan pihak kementerian mengenai pembekuan yang dikenakan sebelum ini, Dr Anuar bagaimanapun tidak menolak segalanya berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

“Kami sebagai pentadbir tidak mahu melibatkan diri atau memberi komen mendalam berkenaan perkara ini tetapi kami juga tidak mahu pendidikan pelajar-pelajar Unisel terganggu.

“Atas sebab itu, kami mengikut segala prosedur yang digariskan, kami membuat rayuan secara hitam putih seperti yang diminta, kami mengadakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan bagi mengembalikan hak pelajar-pelajar untuk mendapatkan pinjaman,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga dilihat enggan memberi sebarang komen berkenaan keprihatinan dan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri berhubung isu tersebut bagaimanapun menerima baik idea pendidikan percuma.

“Namun semuanya bergantung kepada keberdayaan sesebuah kerajaan yang memerintah asalkan perjalanan pendidikan berjalan baik.

“Kami juga akan sentiasa patuh pada dasar yang ditunjangi mana-mana kerajaan yang memerintah,” ulasnya sambil menambah Kerajaan Negeri banyak membantu dalam mengurangkan kos operasi Unisel.

Sebelum ini, PTPTN membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.

Tiada ulasan: